Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Pelaksanaan KR1M kini melibatkan orang ramai
Pelaksanaan KR1M kini melibatkan orang ramai
by Nick Fletcher. Posted on February 21, 2012, Tuesday

PRODUK KR1M: Ismail (kanan) diberi penjelasan oleh Allan (dua kiri) mengenai produk KR1M yang dijual di Choice Supermall. Turut kelihatan Rohani (tengah), Fadillah (dua kanan) dan Uzir (tiga kanan, belakang).
Ia untuk membantu lebih ramai masyarakat terlibat dalam industri peruncitan, perluas segera KR1M di seluruh negara
KUCHING: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini memperkenalkan model ketiga konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dengan pelaksanaannya melibatkan orang ramai.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meng-umumkan model terbaharu tersebut berkata, pelaksanaannya ialah untuk membantu lebih ramai masyarakat terlibat dalam industri peruncitan dan pada masa sama memperluaskan segera KR1M di seluruh negara.
“Kita akan memulakan model ketiga KR1M pada 1 Mac nanti untuk menerima permohonan. Garis panduan dan borang permohonan boleh didapati menerusi laman sesawang KPDNKK iaitu www.kpdnkk.gov.my,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran produk 1Malaysia di Choice Supermall, Sema-riang di sini semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Rohani Karim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, Pengarah Pejabat KPDNKK Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Pengarah Eksekutif Mahsuri Ria Sdn Bhd (pemilik Choice Supermall) Dr Allan Hon.
Menurut Ismail, untuk pelaksanaan model ketiga tersebut, kos pengubahsuaian premis dan kelengkapan berkaitan akan disediakan oleh kerajaan manakala peng-usaha cuma perlu menyedia-kan modal pusingan untuk membeli stok dan operasi perniagaan.
Beliau menjelaskan bahawa modal minimum dalam bentuk tunai atau jaminan bank ialah RM460,000 bagi saiz premis 1,500 kaki persegi dan RM650,000 bagi saiz premis 3,500 kaki persegi.
“Pengusaha haruslah warga-negara Malaysia,” kata Ismail sambil menambah pengusaha juga boleh mencadangkan lokasi premis tetapi ia akan dimuktamadkan oleh kerajaan.
Ismail juga berkata, pelaksanaan peringkat awal berdasarkan peruntukan dari-pada kerajaan akan melibat-kan sebanyak 40 kedai.
“Kita tidak meletakkan kuota kepada negeri tetapi akan melihat kepada keperluan untuk penubuhannya.
“Kita juga akan melantik jawatankuasa yang akan menapis dan mengkaji dari segi kemampuan pihak yang ingin meng-uruskan kedai tersebut kerana ia berkonsepkan francais.
“Cuma, mereka tidak perlu membayar caj francais dan royalti,” katanya.

