Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Dikurung, dibiar kelaparan

Dikurung, dibiar kelaparan

by WILLIE JUDE JUNAIDIwjudeub@gmail.com. Posted on February 22, 2012, Wednesday

Dua wanita dipaksa jadi pelacur terselamat

KOTA KINABALU:  Niat murni dua wanita Filipina yang datang ke sini semata-mata untuk mencari duit bagi menyara keluarga di kampung menjadi mimpi ngeri kepada mereka apabila pekerjaan yang dijanjikan tidak ditunaikan malah dipaksa untuk menjadi pelacur.

Lebih memeritkan, setibanya kedua-dua mangsa yang berumur 26 dan 29 tahun itu di sini minggu lepas, mereka dikurung dalam sebuah bilik hotel di Damai, Luyang dekat sini dan dibiarkan kelaparan tanpa diberi makan.

Difahamkan, kedua-dua wanita itu dikawal ketat oleh seorang bapa ayam warga tempatan dan juga seorang ibu ayam warga Filipina kedua-duanya berumur 40an.

Mereka juga dipaksa melacur sekiranya ingin mendapat bekalan makanan, malangnya selepas itu mereka hanya diberi sebungkus mi segera untuk dikongsi bersama sebagai pengalas perut.

Bagaimanapun, penderitaan mereka berakhir Isnin lepas apabila sepasukan polis dari cawangan D7 (Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berjaya menyelamatkan mereka.

Dalam serbuan yang diketuai Inspektor Siti Noorlilah Latip kira-kira jam 3 petang itu, kedua-dua mangsa kelihatan tidak bermaya dan kelaparan.

Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, ketika serbuan dibuat pihak polis turut berjaya memberkas ibu ayam terbabit yang turut berada di hotel berkenaan ketika itu.

“Manakala bapa ayam terbabit ditahan ketika baru keluar dari kenderaannya untuk balik semula ke hotel berkenaan kira-kira jam 6.15 petang.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat terhadap suspek, polis menemui beberapa bungkusan kondom yang disimpan di dalam kenderaannya dipercayai untuk tujuan aktiviti pelacuran,” katanya di sini kelmarin.

Tambah Sabarudin, kesemua mangsa dan suspek kemudiannya dibawa ke IPK Sabah di Kepayan dekat sini untuk siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang serta Anti Penyeludupan Migran 2007.

Print Friendly

Comments are closed.