Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Dua juta belia dijangka hadiri Hari Belia Kebangsaan 2012
Dua juta belia dijangka hadiri Hari Belia Kebangsaan 2012
Posted on February 22, 2012, Wednesday
KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan seramai dua juta belia berhimpun pada sambutan Hari Belia Kebangsaan 2012 di Putrajaya, pada Mei depan.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sambutan Hari Belia tahun ini merupakan yang terbesar pernah dianjurkan dengan melibatkan sebanyak 500 program.
Katanya, perayaan Hari Belia tahun ini akan dilangsungkan selama lima hari iaitu bermula pada 23 hingga 27 Mei di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur.
“Kami menjangkakan sambutan Hari Belia tahun ini dapat disertai oleh ribuan golongan belia dari Sarawak dan Sabah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama KBS/Sabah/Sarawak edisi kelima di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Peter Pang, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Jahid Jahim.
Menurut Ahmad Shabery, langkah KBS mengadakan perayaan Hari Belia secara besar-besaran itu adalah medan untuk memberi peluang kepada golongan belia seluruh negara menyertai pelbagai program yang dianjurkan.
Beliau berkata selain program-program sukan, perhimpunan belia itu juga menyediakan pelbagai program keusahawanan, pelancongan dan sebagainya.
“Saya berharap dengan penyertaan golongan belia negeri ini dan juga Sabah maka segala peluang dalam pelbagai bidang dapat dinikmati bersama,” katanya.
Ahmad Shabery menarik perhatian bahawa kejohanan futsal 1Malaysia telah mencapai objektifnya kerana mampu mengukuhkan hubungan kalangan belia seluruh negara.
Justeru, jelas beliau kementeriannya akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi memartabatkan pembangunan belia dan sukan.
“Saya percaya dengan program-program yang kita adakan kepada golongan belia dapat memberi keyakinan tinggi kepada golongan terbabit mengejar kecemerlangan,” katanya.
Mengenai mesyuarat itu, Ahmad Shabery berkata kedua-dua negeri iaitu Sarawak dan Sabah masing-masingnya telah mencadangkan untuk meningkatkan kemudahan sukan.
Bagaimanapun katanya, Sarawak amat bertuah kerana sudah memiliki sebuah Pusat Kecemerlangan Akuatik yang bernilai RM36 juta bagi melahirkan lebih ramai atlet renang dan terjun.
“Manakala Sabah pula memohon untuk membina sebuah Pusat Kecemerlangan Ragbi,” katanya sambil berharap kedua-dua negeri itu mampu melahirkan lebih ramai atlet di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

