Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Ratusan kenderaan terkandas akibat jalan mendap
Ratusan kenderaan terkandas akibat jalan mendap
by WILLIE JUDE JUNAIDIwjudeub@gmail.com. Posted on February 22, 2012, Wednesday

JALAN di Kilometer 120 Kota Kinabalu-Sandakan terputus akibat kejadian tanah mendap menyebabkan ratusan pengguna jalan raya terkandas.
KOTA KINABALU: Ratusan pengguna jalan raya di Kilometer 120 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan terkandas berikutan kejadian tanah mendap yang menyebabkan jalan berkenaan terputus malam Isnin lepas.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, jalan yang terletak kira-kira 8 kilometer dari pekan Ranau itu terputus akibat tanah mendap sepanjang kira-kira 150 meter dipercayai akibat hujan lebat yang melanda kawasan itu pada hari kejadian.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan kerja-kerja bagi membina laluan alternatif telah pun dijalankan sejak pagi kelmarin bagi membolehkan kenderaan menggunakan jalan itu semula.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk John Anthony ketika dihubungi berkata setakat tengah hari kelmarin laluan alternatif berkenaan hanya boleh dilalui kenderaan-kenderaan kecil.
“Bagaimanapun, kita akan berusaha membina laluan alternatif yang lebih besar agar dapat dilalui kenderaan-kenderaan besar seperti lori dan bas persiaran, kami jangka ia (laluan alternatif) akan siap pada hari ini (kelmarin) juga,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

