Doktor rugi RM40,000 motosikal dilarikan ‘pembeli’

0

KOTA KINABALU:  Seorang doktor kerugian RM40,000 apabila motosikal berkuasa tinggi miliknya dilarikan seorang lelaki yang berpura-pura ingin membeli kenderaan terbabit dalam kejadian di Kepayan Ridge dekat sini baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.00 petang itu, mangsa berumur 26 tahun itu telah ditipu oleh suspek yang kononnya ingin memandu uji motosikal terbabit sebelum membelinya.

Bagaimanapun, suspek yang berumur 23 tahun itu gagal balik semula ke tempat mangsa dan ekoran itu mangsa telah membuat laporan polis mengatakan bahawa motosikalnya telah dicuri.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya, Superintendan M Chandra berkata mangsa sebelum itu telah menjual motosikal jenis Kawasaki miliknya secara online iaitu di laman web mudah.com.

“Selepas beberapa hari, seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Naufik Firdaus Ridhwan, 23, telah menghubungi mangsa dan mengatakan berminat untuk membeli motosikalnya.

“Kemudian, mangsa mengatur temu janji dengan suspek di rumahnya di Kepayan Ridge yang mana ketika itu suspek telah dihantar oleh salah seorang rakannya menggunakan sebuah kenderaan lain.

“Suspek selepas itu menunggang motosikal mangsa untuk diuji, sebelum menyerahkan My Kad milik suspek sebagai cagaran tetapi selepas beberapa jam menunggu, suspek tidak muncul-muncul,” katanya.

Chandra berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Karamunsing di sini kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang kemudiannya rasa tertipu terus membuat laporan di Balai Polis Tanjung Aru.

“Hasil daripada siasatan, suspek berasal daripada Semenanjung dan alamat terakhirnya ialah di Lot 105 Taman Luagan Keningau dan polis kini sedang giat mengesan suspek terbabit,” katanya.

Tambah Chandra, modus operandi yang digunakan oleh suspek ialah dengan cara menjadikan motosikal berkuasa tinggai yang dijual di mudah.com sebagai sasaran untuk dicuri.

“Selepas itu, suspek kemudian menghubungi pemilik kenderaan terbabit dan menyatakan dia berminat untuk membelinya, namun sebaliknya ia hanya berpura-pura sebelum melarikan kenderaan mangsa.

“Ini adalah kejadian pertama di daerah ini dan kebanyakan kejadian ini hanya berlaku di Semenanjung sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Chandra meminta bantuan orang ramai yang mengenali suspek supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Vigneswaren Renganathan di talian 012-2767484 atau 088-242111 bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

“Justeru, orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika berurus niaga melalui online bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya.