Monday, April 12

Saksikan FBSB lawan PDRM buka tirai Liga Petronas Miri

0

MIRI: Orang ramai dipelawa menyaksikan perlawanan pem-bukaan Liga Petronas Miri 2012 di antara penyandangnya, FBSB menentang juara Piala Bandaraya, PDRM.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (PBBM), Mohamad Saif Jubaidi berkata, perlawanan bagi merebut Piala Sumbangsih itu akan berlangsung pada 3 Mac depan di Stadium Miri, bermula jam 3 petang.

Menurutnya, sejurus tamat perlawanan merebut Piala Sumbangsih, kira-kira 10 pasukan secara automatik akan memulakan misi menjulang Piala Liga Petronas 2012 yang menawarkan pelbagai hadiah hebat.

Jubaidi memberitahu, antara pasukan yang sudah mengesahkan tempat ialah FBSB, Petronas, PDRM, DESB-Marin, Kia Motor, Landas, Lun Bawang dan Projek Bawah 20, sementara dua lagi pasukan akan bermain pada perlawanan kelayakan.

Katanya, empat pasukan baharu dan dua pasukan berada di tempat tercorot pada liga lepas terpaksa mengharungi perlawanan kelayakan untuk merebut dua tempat bagi memenuhi kuota 10 pasukan dalam Liga Petronas Miri 2012.

Dalam perkembangan lain, Saif menegaskan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan pertandingan bola sepak atau futsal perlu berdaftar dengan PBM terlebih dahulu.

Ini kerana semua pengadil yang berdaftar dan bertauliah adalah di bawah seliaan PBM dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), dan penggunaan pengadil tanpa lesen sah adalah satu kesalahan, jelasnya.

Sehubungan itu, mereka yang ingin menganjurkan pertandingan bola sepak boleh mendapatkan khidmat pengadil daripada PBM atau FAS bagi memastikan pengadilan profesional.

Keterangan lanjut sama ada mengenai Liga Petronas, Piala Bandaraya atau Piala FBSB, pasukan yang berminat boleh menghubungi Mohamad Saif Jubaidi (013-8017187) atau Ismail Saual (017-8110600).