Pihak swasta disaran bekal buku bacaan ke sekolah luar bandar

0

PUTRAJAYA: Isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menyeru pihak swasta, syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk membekalkan buku-buku bacaan di pusat sumber sekolah-sekolah luar bandar seluruh negara.

CERIA: Murid-murid Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara membuat persembahan ‘action songs’ pada majlis pelancaran Program Sosial Korporat Pendidikan (PROSKOP) Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar yang disempurnakan oleh Noorainee di Auditorium Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

Beliau berkata, tanggungjawab sosial seumpama itu boleh membantu agenda pendidikan negara sekali gus dapat memastikan anak-anak di luar bandar memperoleh bahan bacaan yang bermutu dan pelbagai.

“Saya dimaklumkan di kebanyakan sekolah luar bandar, nisbah buku dengan bilangan murid masih tidak mencukupi untuk membolehkan setiap murid mempunyaipeluang meminjam buku pada kadar yang maksimum.

“Sehubungan itu saya berharap agar mereka dapat mengikut langkah Yayasan Minda Kebangsaan yang memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi membekalkan bahan bacaan kepada 500 pusat sumber sekolah-sekolah luar bandar seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Program Sosial Korporat Pendidikan(PROSKOP): Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Minda Kebangsaan Kamarulzaman Kamdias.

PROSKOP adalah program usaha sama antara Yayasan Minda Kebangsaan, Kementerian Pelajaran dan Ana Muslim selaku pembekal bahan-bahan bacaan untuk menggalakkan sumbangan keprihatinan pihak korporat dan swasta untuk membantu membekalkan bahan bacaan di sekolah luar bandar.

Setiap sekolah terpilih akan menerima bahan bacaan bernilai RM2,000 terbitan Blue-T Communications Sdn Bhd merangkumi Ensiklopedia Kanak-Kanak Muslim, Siri Lagenda, Siri Bacaan Ana Muslim, Siri Sains Ana Muslim-Tubuh Manusia dan Siri Sains Ana Musli-Teknologi Kitar Semula.

Noorainee berkata, kajian terkini Perpustakaan Negara Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia berusia antara 10 hingga 40 tahun membaca sebanyak lapan hingga 12 buku setahun, manakala yang lebih berusia membaca secara purata enam buah buku.

“Angka-angka ini dapat menunjukkan satu satu peningkatan ketara berbanding purata hanya dua buah buku sahaja yang dibaca seorang rakyat Malaysia seperti kajian pada tahun 2005,” katanya.

Sementara itu, Abd Ghafar dalam ucapannya berkata pada masa kini nisbah murid dengan koleksi pusat sumber sekolah adalah 1:15 bagi sekolah rendah dan 1:20 bagi sekolah menengah.

Beliau turut mencadangkan supaya pusat sumber sekolah mengambil inisiatif untuk memuat turun e-book yang berkualiti untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris. — Bernama