Site Last Updated 2:09 am, Thursday

Pencemaran air, Miri terjejas

by Clare Cinderella. Posted on March 5, 2012, Monday

TERCEMAR: Lee (kiri) diberi taklimat oleh Zaffeer mengenai usaha menangani air yang tercemar,tatkala beberapa pekerja LAKU dan pegawai Shell menggunakan kaedah kertas minyak untukmenyerap minyak di kawasan pengambilan air utama di Loji Perawatan Air di Lambir, semalam.

LAKU tutup loji perawatan air serta-merta selepas tumpahan diesel cemari Sungai Liku

MIRI: Lebih 300,000 penduduk di bandar raya Miri dan Daerah Bekenu semalam terjejas bekalan air bersih selepas sumber air di Sungai Liku tercemar oleh tumpahan minyak diesel daripada tangki simpanan minyak sebuah syarikat swasta yang terletak dua kilometer dari sungai tersebut.

Dianggarkan, sejumlah 14,000 liter minyak diesel yang digunakan untuk proses penurapan jalan yang disimpan di dalam tangki milik syarikat berkenaan, tumpah ke tanah dan seterusnya mengalir ke Sungai Liku, selepas saluran tangki tersebut bocor dan tidak disedari oleh para pekerjanya.

Pengurus LAKU Management Sdn Bhd (LAKU) Kawasan Miri, Lo Su Onn yang ditemui di Loji Perawatan Air LAKU di Lambir semalam memberitahu, pencemaran itu disedari oleh pekerja loji berkenaan pada jam 8.30 malam kelmarin apabila terhidu bau diesel yang kuat dari kawasan pengambilan air.

Sebaik menyedari terdapatnya tumpahan minyak, kakitangan yang bertanggungjawab menyelenggara loji ketika itu bertindak menutup operasi loji serta-merta bagi mengelak air yang telah tercemar terus memasuki kawasan penapisan dan rawatan.

“Pihak kami mula mencari punca pencemaran awal pagi tadi (semalam) dan mendapati punca tumpahan adalah daripada sebuah syarikat membuat tar jalan. Serentak itu, kita memaklumkan kepada pasukan bertindak mengenai tumpahan minyak untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya.

“Sekarang (pagi semalam) kita bergantung kepada sumber bekalan air yang sudah dirawat di loji tangki simpanan sedia ada untuk membekalkan air kepada penduduk Miri.

“Namun, jumlah air bersih yang disimpan di tangki berkenaan agak terhad. Ia menyebabkan kita terpaksa mengurangkan penyaluran air untuk penduduk di bandar raya Miri mulai tengah hari supaya bekalan air tidak putus,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Lo, bukan mudah bagi pihaknya membersihkan pencemaran itu kerana tumpahan minyak terbabit sudah meresap ke dalam tanah dan mengalir di sepanjang sungai tersebut.

LAKU, katanya, terpaksa mengepam air dari Sungai Bakong untuk disalurkan ke Sungai Liku bagi membersihkan tumpahan minyak di sepanjang kawasan hulu sungai berkenaan.

Tambahnya, bekalan air dijangka pulih jam 8 malam ini.

Sementara itu, Pasukan Bertindak Kecemasan bagi Tumpahan Minyak daripada Sarawak Shell Berhad (SSB) yang diketuai oleh Pegawainya, Martin Entamin dan Petronas Carigali yang diketuai oleh Zaffeer Ahmad Kiprawi turut tiba di loji bersama peralatan untuk menampan serta menyedut tumpahan minyak.

Kedua-dua pasukan turut dibantu oleh anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berada di kedua-dua lokasi iaitu loji perawatan air dan punca tumpahan minyak.

Peralatan menyedut minyak terkini, ‘Mantaray’ terpaksa digunakan dalam operasi tersebut.

Sehingga jam 5 petang semalam, kerja-kerja menghalang tumpahan dan pembersihan di loji perawatan masih dilakukan.

Turut berada di lokasi meninjau keadaan ialah Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin.

Dalam pada itu, penduduk di Miri mulai mengalami ketiadaan bekalan air bersih sekitar jam 1 petang semalam, sekali gus menyebabkan ramai penduduk terpaksa membeli air mineral yang dibotolkan.

Berita ketiadaan air yang diuar-uarkan menerusi laman sosial, media elektronik telah menyebabkan pembelian panik air mineral yang dibotolkan, sehingga barisan panjang di beberapa buah pasar raya.

Tinjauan Utusan Borneo turut mendapati beberapa buah premis kecil dan pasar raya telah kehabisan stok air mineral.

Di kawasan Pujut 7, air mineral dijual di tepi jalan seperti menjual buah durian sehingga menimbulkan kesesakan jalan raya kerana diserbu orang ramai.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.