Chin persoal loji ‘premix’ dekat Sungai Liku

3

MIRI: Menteri Tenaga, Teknologi Air dan Hijau, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui semalam mempersoalkan lokasi loji ‘premix’ untuk membuat tar jalan yang didirikan berhampiran dengan sumber air di Sungai Liku, dekat sini.

“Patutkah loji yang mendatangkan pencemaran terhadap Sungai Liku dibenarkan terus di situ? Tanpa pendekatan yang menyeluruh dalam menangani pencemaran ini, kita akan terdedah dengan pencemaran, bukan sahaja di Miri bahkan di tempat lain,” kata-nya ketika dihubungi melalui e-mel semalam.

Beliau mengulas mengenai pencemaran air di Sungai Liku yang berpunca daripada tumpahan minyak diesel dari sebuah kilang ‘premix’ berhampiran, menyebabkan lebih 300,000 penduduk Miri dan Bekenu terputus bekalan air kelmarin apabila Loji Perawatan Air Modul 4 di Lambir terpaksa ditutup sementara waktu bagi meng-elak tumpahan masuk ke dalam sistem rawatan.

Loji ‘premix’ berkenaan terletak kira-kira dua kilo-meter dari Sungai Liku, yang merupakan salah satu sumber air utama di Miri dan Bekenu.

Chin yang juga Ahli Parlimen Miri berharap, pihak berkuasa akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap punca pencemaran dan mengesyorkan tindakan yang wajar diambil serta-merta.

“Selagi kita bertolak ansur dalam perkara membabitkan pencemaran alam sekitar, selagi itulah kita akan berhadapan dengan masalah seumpama ini nanti,” katanya sambil menambah, langkah berhati-hati perlu diutamakan khususnya membabitkan alam sekitar.

Sementara itu, Setiausaha Politik beliau, Datuk Sebastian Ting berkata, insiden tersebut harus dijadikan pengajaran kepada semua.

“Dua perkara yang kita pelajari iaitu, penduduk panik kerana khabar angin dan kurangnya sistem penyampaian maklumat untuk memaklumkan situasi sebenarnya dari masa ke semasa,” ujarnya.

Sebastian berkata, semua jabatan kerajaan atau agensi harus mempunyai sistem penyampaian maklumat yang pantas dan telus bagi mengelak sebarang penyebaran khabar angin yang kurang tepat.

“Sistem penyampaian yang telus amat penting terutama dalam mana-mana krisis seperti ini,” katanya sambil menegaskan, menjadi tanggungjawab agensi atau jabatan menyediakan maklumat kepada rakyat.