Pengedar dadah terjun laut elak dicekup

0

SEMPORNA:  Tindakan seorang pengedar dadah yang terjun ke dalam laut untuk mengelak dari ditahan polis gagal apabila dia dicekup dua anggota polis yang mengejarnya di Kampung Bangau-Bangau di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pada Ahad kira-kira jam 11.00 malam itu, polis turut menemui 6.3 gram syabu daripada sebuah beg yang dibawa oleh suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Mohd Azim Abdullah berkata serbuan berkenaan dilakukan oleh sepasukan anggota daripada cawangan narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas menerima maklumat dari orang awam.

“Ketika pasukan berkenaan melakukan rondaan di kampung itu, mereka mendapati ada seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan apabila salah seorang anggota memperkenalkan diri sebagai polis, suspek terus melarikan diri lalu terjun ke dalam laut.

“Bagaimanapun, kepantasan dan kecekapan dua anggota yang bertindak mengejar suspek berjaya mengelak dia (suspek) dari terlepas,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Azim berkata, selain rampasan dadah terbabit polis turut menemui beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti dadah seperti batang straw, bekas aluminium, paket plastik lutsinar dan lain-lain lagi di dalam beg milik suspek.

Tambahnya, lelaki warga asing berumur 34 tahun itu kemudiannya dibawa ke IPD Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) (r) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehubungan itu, Azim turut mengucapkan terima mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya suspek terbabit.

“Saya harap kerjasama ini akan berterusan agar kegiatan dadah di daerah ini dapat dibanteras,” katanya.