Tuesday, November 24

Statistik pemerdagangan orang di Sabah masih rendah

0

KOTA KINABALU: Sejak tahun 2008 hingga 2011, Sabah mencatatkan statistik sebanyak 9.25 peratus atau 87 orang yang menjadi mangsa pemerdagangan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata, jumlah peratusan berkenaan merangkumi kadar peringkat nasional dengan melibatkan sebanyak 31 kes.

Menurutnya, setakat ini seramai 21 orang mangsa yang mana kesemuanya wanita berjaya diselamatkan dan ditempatkan di rumah perlindungan di Likas dekat sini.

“Daripada jumlah itu, empat orang adalah warganegara Filipina manakala 17 orang lagi berasal daripada Indonesia.

“Di Sabah, jumlah terbabit masih dianggap rendah dan terkawal namun, ia perlu pemantauan berterusan memandangkan isu pemerdagangan orang adalah jenayah merentasi sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrasi Peringkat Negeri Sabah yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman di sini kelmarin.

Abdul Rahim berkata, mangsa yang selebihnya ada yang dihantar balik ke negara asal masing-masing dan ada yang dirujuk ke Jabatan Imigresen.

Selain itu jelasnya, dalam tempoh yang sama di peringkat nasional, seramai 599 orang yang terlibat dengan jenayah ini berjaya ditangkap dan sebahagian daripadanya masih dalam proses pendakwaan.

Katanya, tangkapan dibuat berdasarkan maklumat orang awam dan juga operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, pemerdagangan orang antara jenayah yang mempunyai implikasi dari aspek domestik dan antarabangsa.

Menyedari hakikat itu, pihaknya melaksanakan pelbagai usaha termasuklah jalinan kerjasama dan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa pihak yang berkaitan.

“Melalui Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), pelbagai agenda marangkumi aspek perundangan, penguatkuasaan, perlindungan mangsa, publisiti, kesedaran awam, dan penyelarasan tenaga buruh dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

Justeru, tambahnya, dengan adanya pelaksanaan kempen kesedaran, ia dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap jenayah terbabit.

“Ia adalah satu usaha berterusan dalam membanteras jenayah ini memandangkan ia adalah masalah global dan kita tidak mahu ia menjadi masalah kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Musa dalam ucapannya berkata, isu pemerdagangan orang perlu ditangani secara kolektif dan bersepadu.

Menurutnya, tanpa sokongan dan kerjasama daripada masyarakat, usaha kerajaan melalui inisiatif membanteras jenayah ini tidak akan mencapai matlamatnya.

Ini kerana katanya, tanggungjawab dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa semata-mata, namun memerlukan sokongan padu daripada masyarakat.

“Kerajaan sentiasa menyambut baik penglibatan dan komitmen sektor swasta  serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membanteras jenayah ini,” katanya.