Organisasi bantu usahawan Bumiputera dalam pelancongan ditubuh

0

RASMI: Taib menekan butang sebagai simbolik perasmian program JEJAK 2012 dan Kongres Ekonomi Bumiputera Sarawak Keenam di Kuching semalam. Turut kelihatan (dari kanan), Abang Helmi dan Nor Mohamed.

KUCHING: Sebuah organisasi akan ditubuhkan dalam usaha membantu usahawan Bumiputera di Sarawak yang terlibat dalam industri pelanco-ngan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, Organisasi Jualan Borong Pe-lancongan itu akan beroperasi di bawah Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera, Jabatan Ketua Menteri dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Organisasi itu, katanya, akan memfokus kepada pendekatan yang menekankan kerjasama semua organisasi Bumiputera dari semua sektor dalam me-majukan lagi industri menerusi perkongsian pengalaman dan kepakaran.

“Sebagai contoh, dalam sektor pelancongan, kita akan memfokus kepada usaha untuk membangunkan lagi industri ini menerusi penubuhan Organisasi Jualan Borong Pelancongan Bumiputera.

“Dalam organisasi ini, satu kumpulan akan mengetuai usaha-usaha industri mempakejkan semua produk pelancongan, antaranya mempromosikan destinasi-destinasi menarik, memasarkan produk dan sebagainya,” ujar beliau kepada pemberita selepas me-rasmikan program JEJAK 2012 dan Kongres Ekonomi Bumiputera Sarawak Keenam anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di sini, semalam.

Taib menambah, usahawan yang menjual produk-produk pelancongan boleh menjalin-kan kerjasama dengan hotel-hotel dalam mempromosikan produk masing-masing.

“Kerjasama ini akan digunakan sebagai modul untuk jalinan usaha sama lain dalam bidang ini,” ujarnya.

Sementara dalam ucapan perasmiannya, beliau mahu usahawan Bumiputera Sara-wak yang menceburi bidang ekopelancongan merebut pe-luang daripada penubuhan  organisasi itu.

Menurutnya, potensi sektor ekopelancongan di Sarawak bertambah untuk 10 hingga 20 tahun akan datang dan usahawan Bumiputera paling ramai terlibat dalam sektor tersebut kerana mereka majoritinya tinggal di kawasan ekopelancongan.

“Mereka (usahawan Bumiputera) juga sudah mempunyai banyak pengalaman baik dalam menyediakan produk kebudayaan, menganjuran ekpedisi menjelajah tapak menggunakan jalan air serta jalan kaki selain progem menjelajah hutan tropika dan sebagainya.

“Kalau dahulu katanya orang Bumiputera hanya jadi kuli, sekarang sudah ramai generasi baharu pandai. Misalnya di Ulu Baram mereka sudah pandai mengendalikan industri pelancongan sendiri dan memasarkan produk pelancongan mereka secara langsung,” katanya.

Model seperti itu katanya boleh dikembangkan ke Ulu Kapit dan tempat-tempat lain yang lebih menarik menerusi kerja sama dengan usahawan bukan Bumiputera dan agensi-agensi kerajaan terlibat.

Menerusi cara itu juga, katanya, operator pelancongan Bumiputera dapat bekerja sama dengan operator telah berjaya dalam satu model untuk menjual pakej pelancongan ke luar negara.

“Operator Bumiputera akan bekerja di peringkat paling bawah yang menyentuh usaha di lapangan selepas itu pemasaran akan dilakukan oleh pihak lain mempunyai kepakaran tertentu.

“Ini saya rasa akan dapat mempercepatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang ekopelancongan selain menjual dan memperbanyakan pengeluaran produk industri kotej,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai industri kotej di Sarawak, beliau berkata, masih banyak yang perlu dilakukan lebih-lebih lagi untuk meningkatkan kapasitinya bagi membolehkan produk industri itu menembusi pasaran global.

Antara perkara yang harus diberi penekanan, katany,a ialah mewujudkan rangkaian pemasaran, memastikan standard kualiti produk bukan makanan seperti kraf tangan dan makanan sentiasa konsisten serta menepati kehendak pasaran dunia.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, menteri-menteri kabinet negeri serta pusat, Ketua Eksekutif TERAJU Jabatan Perdana Menteri Husni Salleh dan Pengerusi Gabungan Usahawan Bumiputera Sarawak Datu Abang Helmi Ikhwan.