Program seranta harus dianjur di bandar utama Sarawak, kata Morshidi

0

SIMBOLIK: (Dari kiri) Mohd Zambri, Morshidi, Riot, Acryl dan Rozian melakukan simbolik perasmian Program Seranta, Penerangan dan Diplomasi Awam, kelmarin.

KUCHING: Program Seranta, Penerangan dan Diplomasi Awam perlu diperluaskan di seluruh bahagian di negeri ini dengan menganjurkannya di bandar-bandar utama di Sarawak.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani berkata, program yang memberi fokus utama kepada kesedaran seperti membanteras gejala keldai dadah itu perlu berterusan.

“Saya menyarankan agar program kesedaran ini berterusan khususnya usaha membanteras gejala keldai dadah patut dikembangkan lagi dan turut diadakan di bandar-bandar lain di Sarawak khususnya di Sibu, Bintulu dan Miri.

“Selain itu, sasaran program mestilah melibatkan pelajar-pelajar sekolah mahupun daripada institusi-institusi pengajian tinggi dan komitmen serta kerjasama yang berterusan daripada semua pihak adalah penting bagi memastikan gejala ini tidak menjadi serius,” katanya.

Beliau berkata demikianketika  berucap pada majlis perasmian Program Seranta, Penerangan dan Diplomasi Awam anjuran Kementerian Luar Negeri yang disempurnakan oleh Timbalan Menterinya Datuk Richard Riot Jaem di sini, kelmarin.

Program yang diadakan bermula pada 6 hingga 8 Mac yang bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai fungsi serta peranan Wisma Putra dan pejabat perwakilannya merupakan kali keempat diadakan di Sarawak.

Jelas Morshidi, sejak kebelakangan ini banyak isu yang melibatkan keldai dadah berlaku di negara ini dan Sarawak tidak terkecuali dalam perkara berkenaan.

Tambah beliau, menurut sumber Jabatan Statistik siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, sehingga tahun 2012, hanya tiga kes keldai dadah yang melibatkan penduduk Negeri Sarawak.

“Bagi menangani isu ini daripada menjadi lebih serius, semua pihak yang terlibat patut bekerjasama bersama-sama memerangi isu ini supaya ianya dapat dibendung sebelum menjadi lebih serius lagi,” tegasnya.

Sehubungan itu, kata beliau, program kesedaran juga patut diadakan bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat umum khususnya pelajar-pelajar di Institusi Pengajian Tinggi tentang gejala isu keldai dadah ini dan didedahkan tentang bahaya berkemungkinan menjadi mangsa gejala keldai ini.

Program seranta yang diadakan itu turut melibatkan beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan di mana usaha sama diadakan bagi memupuk kesedaran awam mengenai gejala keldai dadah di peringkat Negeri Sarawak.

Beberapa aktiviti turut diselitkan di sepanjang program seranta ini antaranya Sesi Bual Bicara, Program Bertemu Pelanggan dan Pameran Fotografi, Sesi Ceramah dan Program Mesra Rakyat yang melibatkan acara sukan futsal serta badminton.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri Datuk Mohd Zambri Mohd Kassim dan Setiausaha Bahagian Penerangan dan Diplomasi Awam Kementerian Luar Negeri Ahmad Rozian Abd Ghani.