Proses pemberian BR1M di Miri lancar, sistematik

0

BERJIWA RAKYAT: Lee membantu menyorong kerusi roda salah seorang penerima BR1M.

MIRI: Proses pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini semalam berjalan lancar dan lebih sistematik berbanding sebelumnya.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, penerima BR1M berkenaan lebih mengikut peraturan dan teratur mengikut prosedur yang dijalankan.

“Berbanding sebelum ini, mereka berebut-rebut dalam keadaan sesak untuk mendapatkan BR1M masing-masing.

“Tetapi kali ini, penerima memberikan kerjasama dengan kakitangan yang bertugas untuk mendapatkan BR1M,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan BR1M bagi fasa kelima di Dewan Suarah Miri.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh penerima dan pihak yang terlibat menguruskan BR1M.

Katanya, seramai 3,743 penerima di sini merangkumi kawasan Piasau (1,006 penerima), Pujut (804) dan Senadin (1,933) menerima bantuan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap agar bantuan tersebut digunakan sebaik mungkin dan rakyat terus memberi sokongan terhadap kerajaan bagi menikmati keselesaan serta kesenangan seperti bantuan yang diberikan.

Hadir sama bagi membantu penyampaian BR1M berkenaan ialah Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau merangkap Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting.