STPM 2011 S’wak meningkat

0

KEBANGGAAN IBU: Pelajar Sekolah Menengah St Thomas, Nadia Amirah Ibrahim menjadi kebanggaan ibunya, Imah Majani, 43, apabila lulus penuh dua mata pelajaran dalam STPM 2011 yang diumumkan di seluruh negara, semalam.

Seramai 20 calon mencapai PNGK 4.00 berbanding 13 pada tahun 2010

KUCHING: Seramai 17 calon lulus penuh dalam lima mata pelajaran daripada 6,017 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sarawak pada 2011.

Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam juga memberitahu 2,132 calon lulus penuh empat mata pelajaran, 1,240 calon lulus penuh dalam tiga mata pelajaran, 960 calon lulus dalam dua mata pelajaran, ma-nakala 847 calon lulus dalam satu mata pelajaran.

“Pada keseluruhannya seramai 5,196 orang atau (90.93 peratus) calon sekolah telah mendapat sijil STPM pada tahun 2011 berbanding 5,192 calon tahun lepas,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Daripada 6,017 calon menduduki peperiksaan tersebut, 5,714 orang merupakan calon sekolah menengah kebangsaan dan 303 orang adalah calon persendirian.

Abdillah berkata lagi, dari segi pencapaian individu, se-ramai 20 orang calon sekolah menengah kebangsaan di Sarawak mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 (maksimum).

Ia merupakan satu peningkatan berbanding 13 orang pada STPM 2010.

Seramai 948 orang mendapat PNGK 3.00 ke atas berbanding 870 pada 2010.

Mana-mana calon yang ingin menyemak semula keputusan atau ingin memperbetulkan maklumat peribadi pada slip keputusan diberi tempoh hingga 20 Mac ini untuk berbuat demikian.

Borang rayuan semak semula boleh dimuat turun di laman web Majlis Peperiksaan Malaysia atau semua Pejabat Pelajaran Daerah atau Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Sarawak, Simpang Tiga, Kuching.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Bernama melaporkan bahawa Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan melaksanakan sistem pentaksiran baharu STPM bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada mulai tahun ini, bermula sesi pengambilan 2012/2013 Tingkatan Enam Bawah.

Pengerusi MPM Datuk Dr Mohd Noh Dalimin ketika mengumumkan perkara itu berkata, dua kaedah pentaksiran akan dijalankan iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 20 hingga 40 peratus, dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60 hingga 80 peratus.

Katanya, langkah itu bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik dengan menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil yang lebih berfokuskan kepada pelajar dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

“Buat pertama kalinya, PBS diperkenalkan dalam hampir semua mata pelajaran Tingkatan Enam. Ini merupakan sejarah bagi MPM setelah terlibat dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM Tahun 2011, di sini semalam.

Katanya, PBS terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu kerja projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran bagi tiga penggal, iaitu penggal pertama, kedua dan ketiga dalam tempoh pengajian selama satu setengah tahun.

“Pelajar Tingkatan Enam Bawah pada tahun ini, merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baharu STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal pertama persekolahan Tingkatan Enam pada November ini,” katanya.

Mohd Noh berkata, penilai-an kerja kursus akan dibuat guru mata pelajaran di sekolah dan penyelarasan pentaksiran akan dijalankan MPM.

Katanya, pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap penggal dan keputusan peperiksaan juga akan di-keluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal.

Beliau berkata, satu kelebihan sistem itu ialah pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir penggal pertama dan/atau penggal kedua dengan menduduki semula peperiksaan tersebut pada penghujung penggal ketiga.

“Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi penggal ketiga juga boleh menduduki semula peperiksaan ak-hir penggal ketiga,” katanya.

Mohd Noh berkata, dalam sistem pentaksiran baharu STPM, tempoh pengajian Tingkatan Enam dan peruntukan waktu pengajaran adalah sama seperti tempoh dan waktu persekolahan sedia ada.

“Begitu juga daripada segi penawaran bilangan mata pelajaran yang tidak berubah, iaitu masih 23 mata pelajaran dan sistem penggredannya masih sama dengan sistem yang sedia ada,” katanya.

Katanya, MPM berharap pelaksanaan sistem pentaksiran baharu itu akan dapat memperkasa dan mengang-kat martabat pengajian pe-ringkat prauniversiti di Tingkatan Enam serta dapat menarik lebih banyak pelajar mengikuti pengajian pra- universiti itu. — Bernama