Saturday, August 13

Umat Islam gembira dapat solat Jumaat di Surau Darul Istiqamah

0

SIJIL KEBENARAN: Hamdi (empat kanan) menerima Sijil Kebenaran bagi Menunaikan Solat Jumaat di Surau Darul Istiqamah daripada Dr Annuar sambil diperhatikan yang lain.

SIBU: Masyarakat Islam di Jalan Sukun, Hulu Lanang serta kawasan berdekatan melahirkan penghargaan kepada Majlis Islam Sarawak (MAIS) kerana telah memberikan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Istiqamah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Surau Darul Istiqamah, Hamdi Awi, dengan kebenaran itu memudahkan untuk menunaikan solat serta menjimatkan masa memandangkan surau terbabit terletak dalam kawasan kediaman mereka.

“Di samping itu, daripada aspek keselamatan kita tidak perlu pergi jauh sama ada menunggang motosikal atau memandu kereta untuk menunaikan solat terutama pada hari Jumaat.

“Kita di Jalan Sukun dan kawasan sekitar amat berterima kasih kepada Majlis Islam Sarawak kerana membenarkan kita menggunakan surau ini bagi mengerjakan solat (Jumaat),” ujarnya kepada pemberita, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima Sijil Kebenaran bagi Menunaikan Solat Jumaat di surau terbabit daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee, yang mewakili Setiausaha MAIS Abang Shamshudin Abang Seruji.

Menurut Hamdi lagi, sebelum ini penduduk terpaksa menunaikan solat di Masjid An-Nur yang terletak di Jalan Masjid, kira-kira setengah jam perjalanan dari Hulu Lanang.

“Surau ini juga digunakan bukan sahaja oleh penduduk Jalan Sukun tetapi masyarakat Islam lain seperti dari Kampung Kedada, Kampung Banyok, Jalan Mantis, Pulau Li Hua dan anggota Pasukan Gerakan Am di Jalan Lanang,” ujarnya.