Pelajar Menengah Atas Sekolah Persendirian Cina Layak Terima Baucar Buku RM200 – Wee Ka Siong

0

PUTRAJAYA: Pelajar menengah atas sekolah tinggi persendirian Cina akan menerima Baucar Buku 1Malaysia sebanyak RM200 dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Katanya terdapat kekeliruan sebelum ini sama ada pelajar kelompok ini layak menerima baucar RM100 atau RM200, seperti yang diumumkan di bawah Bajet 2012.

“Semalam ketika mesyuarat pascakabinet, saya memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkara ini. Kami memutuskan pelajar kelompok ini layak menerima RM200 kerana mereka lebih kepada peringkat prauniversiti,” katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, Wee mempengerusikan mesyuarat meja bulat dengan Dong Zong (Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia), Jiao Zong (Persatuan Gabungan Guru Sekolah Cina Malaysia), Hua Zong (Persekutuan Persatuan Cina Malaysia), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan dan Majlis Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Mesyuarat selama tiga jam itu membincangkan isu kekurangan guru di sekolah aliran Cina di negara ini. — BERNAMA