Calon-calon berpotensi Mas Gading saling menyokong

0

EMPAT BERPOTENSI: (Dari kanan) Henry, William, Anthony dan Rayan menunjukkan semangat kesatuan antara mereka bagi mempertahankan Mas Gading.

KUCHING: Empat calon berpotensi Barisan Nasional (BN) yang bakal mempertahankan Mas Gading akan saling menyokong antara mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Mereka adalah Timbalan Pengurus Besar SALCRA Anthony Nogeh, Pengurus Besar Zecon Rayan Narong, Kontroler Lembaga Sungai-sungai Sarawak William Jinep dan adiknya yang juga ahli perniagaan Henry Harry Jinep.

Keempat-empat pemimpin tempatan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu menunjukkan kesatuan antara mereka pada jamuan malam di Singai, Bau malam kelmarin yang turut dihadiri oleh Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom.

Pada masa yang sama mereka turut berjanji akan membantu masyarakat Bidayuh menyatukan etnik-etnik mereka termasuk Singai, Jagoi, Bratak, Krokong dan Selako-Rara.

Menurut Anthony, siapa jua yang terpilih antara mereka untuk mempertahankan kerusi Mas Gading kelak, tiga calon yang lain akan menghulurkan sokongan demi kepentingan rakyat.

“Tidak ada orang lain harus mendapatkan kerusi Mas Gading. Kami yakin kami mampu memberikan yang terbaik kepada BN dan SPDP,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Politik Ketua Menteri Peter Howell Jilan berkata, sokongan yang ditunjukkan pada pembukaan pejabat SPDP Tasik Biru Sabtu lepas sangat menggalakkan.

Menurutnya, selepas memecat beberapa ahli daripada SPDP, permohonan keahlian baharu diterima secara berterusan.

“Ini menunjukkan bahawa SPDP adalah relevan kepada masyarakat dan apa yang telah parti lakukan dari segi disiplin dan kestabilan adalah tepat,” katanya.

Tambahnya, maklum balas daripada ahli-ahli di seluruh Sarawak adalah semua mereka bersetuju dengan penyingkiran ahli-ahli yang menggugat kestabilan parti.

Jelasnya, setiap empat calon berpotensi BN Mas Gading mempunyai kira-kira 1,000 penyokong tetapi jumlah 4,000 penyokong tidak cukup untuk memenangi Mas Gading.

Justeru katanya, jentera pilihan raya parti perlu bekerja keras untuk mendapatkan lebih daripada 4,000 penyokong untuk memastikan kemenangan di Mas Gading.