Site Last Updated 2:15 am, Friday

Kelab RC Boat Sibu sedia terima peserta luar negara

Posted on March 13, 2012, Tuesday

PERLUMBAAN BERMULA: Perlumbaan bot kawalan jauh mampu menjadi platform untuk produk pelancongan sukan di Sibu.

SIBU: Kelab RC Boat Sibu bersedia menerima peserta dari luar negara untuk menyertai perlumbaan bot kawalan jauh sekali gus membantu memperkenalkan Sibu di mata dunia. Setiausaha kelab tersebut, Robert Angkah ketika memberitahu Utusan Borneo semalam berkata, kelab berkenaan akan mengadakan perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 Mei akan datang sebagai platform untuk mempromosikan pelancongan sukan di sini.

Antara lain, beliau turut mensasarkan perlumbaan itu mampu menarik ramai peserta pada tahun ini berbanding tahun lalu di mana lebih 100 peserta telah ‘berkampung’ di Taman Tasik Permai untuk menyertai perlumbaan itu.

“Kami berharap penyertaan kali ini dapat disertai para peserta dari negara-negara luar seperti Thailand dan Vietnam. Pihak kami telah memaklumkan perlumbaan ini kepada mereka di sana.

“Jika para peserta dari negara luar menyertai perlumbaan ini mereka bukan sahaja mengambil bahagian tetapi akan menginap di sini dan secara tidak langsung dapat  melawat tempat-tempat yang menarik dan mencuba hidangan tempatan.

“Para pelawat juga pasti teruja untuk mempelajari budaya dan tradisi yang unik daripada pelbagai kumpulan etnik di sini.

“Melalui pelancongan sukan, kita boleh mempamerkan budaya dan cara hidup masyarakat di sini kepada mereka (peserta dari luar negara),” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa pada tahun lepas, peserta yang turut menyertai perlumbaan itu adalah peserta tempatan dan peserta dari Semenanjung Malaysia serta Brunei.

Robert memberitahu, pada tahun ini perlumbaan tersebut telah masuk tahun ke-12 dan mula diperkenalkan sejak 2001.

“Sambutan selama ini amat menggalakkan kerana permainan bot kawalan jauh ini  mula menarik minat orang ramai di sini.

“Melihat sambutan terhadap permainan ini dapat diterima umum, kelab telah mengambil inisitif untuk mengadakan perlumbaan untuk dijadikan acara tahunan dan menjadi salah satu produk pelancongan sukan di bahagian ini,” ujarnya.

Beliau yakin bahawa jumlah peserta akan meningkat pada tahun ini berikutan perlumbaan akan dibahagikan kepada beberapa kategori.

Ditanya mengenai objektif perlumbaan itu, Robert menjelaskan bahawa ia adalah untuk memupuk hubungan silaturahim yang erat di kalangan ahli dan peserta.

Setelah mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan, beliau percaya bahawa persaingan itu boleh meluaskan rangkaian sosial atapun mampu membantu seseorang peserta mempunyai ramai kawan.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.