Sambutan Hari Polis diraikan dengan aktiviti gotong-royong

0

ROBAN: Sambutan Hari Polis Ke-205 bagi Balai Polis Roban telah diraikan dengan aktiviti gotong-royong bersama masyarakat setempat.

Gotong-royong diadakan dengan membersihkan persekitaran Tokong Thein Yun, Roban, semalam.

Aktiviti berkenaan diketuai Ketua Balai Polis Roban Sarjan Misol Mahadi dan turut dibantu beberapa anggota polis dari balai terbabit.

Selain daripada menyemai aspek penjagaan kebersihan persekitaran, program itu juga bertujuan merapatkan lagi hubungan di antara pihak polis dengan masyarakat setempat.

Jalinan hubungan yang erat antara kedua-dua belah pihak adalah antara langkah  terbaik dalam usaha membendung jenayah dan segala aktiviti yang tidak sihat.

Di samping itu, ia bertujuan mendidik masyarakat untuk menghargai dan mempunyai rasa tanggungjawab tinggi dalam perkara menjaga harta benda awam.

Program ini berlangsung selama dua jam dan dihadiri sekitar 40 anggota masyarakat setempat dan polis dari Balai Polis Roban.