Kastam rampas rokok hampir RM100,000

0

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas sejumlah 5,300 bungkus rokok tiruan dan seludup pelbagai jenama bernilai hampir RM100,000 dalam satu operasi khas yang dijalankan di kawasan Sinsuran dekat sini baru-baru ini.

Pengarah Kastam Sabah, Janathan Kandok, berkata dalam serbuan pada Khamis yang dilakukan oleh 11 pegawai penguatkuasa kastam cawangan marin itu, kebanyakan rokok yang dirampas disembunyikan di dalam bilik-bilik kosong selain disembunyikan di atas siling dan juga dalam tilam.

“Penjual rokok tiruan atau seludup ini kebanyakannya menyewa satu bilik khas tetapi bukan untuk ditinggal sebaliknya untuk menyimpan stok-stok rokok terbabit.

“Selain itu, beberapa bungkus rokok yang disembunyikan di atas siling bilik sewa dan juga di dalam tilam turut berjaya dijumpai, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat memandangkan ketika serbuan tiada penghuni di dalam bilik-bilik terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sabah dekat sini kelmarin.

Menurutnya, antara jenama rokok yang berjaya dirampas termasuklah Apache, GG Surya, LA Menthol Lights, Astro, Champion, Era, Premium, Marlboro, dan Premiro.

Sementara itu, Janathan mengingatkan kepada orang awam agar tidak membeli, menyimpan atau menggunakan rokok tiruan serta yang belum diluluskan Kastam.

“Sekiranya didapati melakukan kesalahan itu boleh disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan JKDM juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas pihak yang didapati terlibat.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada orang ramai agar bekerjasama dengan Kastam dalam menyalurkan maklumat mengenai kegiatan rokok tiruan dan seludup ini,” katanya sambil menambah antara kawasan yang boleh dikatakan sebagai ‘kawasan panas’ termasuklah di Inanam, Menggatal dan juga Indah Permai.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjualan rokok tiruan atau seludup boleh menghubungi talian bebas tol Kastam di nombor 1-800-88-8855.