Mahkamah tolak rayuan penjual daging atas tuduhan edar dadah, kekal ke tali gantung

0

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini menolak rayuan seorang penjual daging terhadap sabitan dan hukuman mati atas kesalahan mengedar Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), ganja dan ketamine, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Hakim Datuk Azhar Hj Maah, dan Datuk Seri Hj Mohamad Apendi Hj Ali sebulat suara mengesahkan Soong Jiun Duh disabitkan kesalahan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam membuat keputusan itu, mereka berpendapat bahawa tiada merit dalam rayuan berkenaan.

Pada 1 September 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Rahman Sebli menjatuhkan hukuman itu terhadap Soong selepas didapati bersalah mengedar ganja seberat 898,59 gram, MDMA 47 gram, 97 gram dan ketamine 2.68 gram.

Perayu yang berusia 36 tahun melakukan kesalahan itu kira-kira jam 4 petang pada 19 April 2008, di sebelah kedai Kopi Sri Puyau, Rumah Kedai, Lot 1, tingkat bawah, Taman Dixon, Luyang.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam kes berasingan, mahkamah menetapkan pada 15 Mei depan untuk mendengar rayuan Mohd Faris Mohd Johan terhadap sabitan dan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi pada 26 November 2009 atas kesalahan mengedar syabu seberat 73.76 gram.

Dia didapati bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor, Kg. Baru, Teluk Sepanggar, Menggatal, jam 6.30 petang pada 9 April 2005.

Perayu diwakili peguam Datuk Chau Chin Tang.