Manfaat kecederaan Lions XII

0

Sarawak masih perlu berwaspada di sebalik masalah dihadapi lawan malam ini

ROBERT ALBERTS

KUCHING: Peluang keemasan kini terhidang buat skuad Sarawak untuk menjamin tiga mata penuh malam ini (Sabtu) sekiranya mereka mampu memanfaatkan krisis kecederaan yang sedang melanda skuad Lions XII (Singapura) ketika ini.

“Senarai kecederaan yang panjang agak membimbangkan saya namun saya yakin pasukan akan memberikan reaksi yang positif kepada situasi itu. Saya yakin kami mampu membawa balik tiga mata kerana kami mempunyai pemain sokongan yang secukupnya,” ujar jurulatih Lions XII, Varadaraju Sundramoorthy.

Di sebalik masalah yang sedang melanda skuad muda kebangsaan Singapura itu, Sarawak masih perlu mengambil pendekatan berhati-hati ketika berdepan lawan mereka itu malam ini.

Shahril Ishak misalnya salah seorang pemain Lions XII yang harus diberikan perhatian kerana beliau mampu menjadi faktor kemenangan pasukan pelawat malam ini.

Shahril yang juga ketua pasukan Lions XII ketika ini cukup berbisa di hadapan pintu gol apabila sudah menjaringkan enam gol buat pasukannya dalam kempen Liga Super musim ini.

Lions XII ketika ini berada di tempat kedua dalam carta Liga Super selepas sembilan perlawanan dengan hanya tiga mata di belakang peneraju liga, Kelantan.

“Lions XII gemar bermain pantas dari bahagian sayap. Mereka cukup berupaya menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan kita harus berusaha bersungguh-sungguh bagi menjejaskan rentak permainan mereka,” ujar jurulatih Sarawak, Robert Alberts ketika mengingatkan anak-anak buahnya tentang ancaman pasukan pelawat malam ini.

Biarpun menyedari kehebatan pasukan pelawat, Alberts menegaskan tiada sebab untuk anak-anak buahnya berasa gentar dengan cabaran Lions XII malam ini.

Malah jurulatih import dari Belanda itu sebaliknya percaya Sarawak mampu menamatkan rekod enam perlawanan tanpa kalah Lions XII malam ini jika anak-anak buahnya mampu menunjukkan prestasi terbaik di hadapan para penyokong sendiri.

Sarawak bagaimanapun masih belum dapat menurunkan pemain tengah berpengaruhnya, Guy Bwele yang digantung serta Azizan Baba yang dilaporkan cedera. Ini bermakna Shahrol Saperi dijangka berpeluang berada dalam kesebelasan utama malam ini dengan Hairol Mokhtar dijangka akan menjadi gandingannya di bahagian tengah.

“Saya berharap rakan-rakan sepasukan yang lain akan memberikan yang terbaik esok. Saya juga berharap mereka tidak akan tertekan ketika bermain malam esok,” ujar Bwele.

Pemain tengah berbakat Sarawak, Ahsri Chuchu dijangka akan kembali ke pangkuan skuad hari ini selepas menggalas tugas antarabangsa. Beliau merupakan sebahagian dari skuad Harimau Muda yang tewas 0-3 kepada Syria di Lubnan pada perlawanan terakhir kelayakan Olimpik bagi Zon Asia pada Rabu lepas.

Alberts turut menimbang untuk mencuba beberapa pemain baru yang telah menunjukkan prestasi baik sepanjang latihan. Antaranya Rashid Aya, Ronald Dennis dan K. Rajan.

Penyerang import Sarawak, Vedran Muratovic yang menunjukkan prestasi tidak konsisten di hadapan gol dijangka akan terus diberikan kepercayaan untuk membuktikan keupayaannya sekali lagi. Penyerang import dari Croatia itu harus berusaha bersungguh-sungguh malam ini sekiranya beliau berhasrat untuk terus kekal bersama skuad Ngap Sayot.