Pasangan kekasih edar dadah diberkas

0

KOTA KINABALU: Sepasang kekasih yang dipercayai telibat dalam kegiatan dadah dicekup dalam satu serbuan di sebuah bilik sewa di Taman Taitet, Luyang dekat sini baru-baru ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.00 tengah hari itu, polis turut menemui satu bungkusan plastik yang berisi 5.2 gram syabu bernilai RM1,560 di dalam bilik sewa berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya, Superintendan M. Chandra berkata selain dadah terbabit polis turut menemui tiga alat yang dipercayai digunakan untuk menghisap syabu dan juga satu alat penimbang dipercayai untuk menimbang syabu bagi tujuan dijual.

“Polis percaya kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki berumur 38 tahun dan pasangannya berumur 23 tahun telibat dalam pengedaran dadah dan juga penagihan dadah.

“Kedua-dua suspek yang juga warga tempatan itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota KInabalu, Karamunsing dekat sini kelmarin.

Dalam kes lain, seorang wanita tempatan berumur 17 tahun ditahan di tingkat satu pusat beli-belah 1Borneo, Jalan Sulaman dekat sini kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan judi 4D haram.

“Tangkapan dibuat pada minggu lepas kira-kira jam 4.50 petang di mana sebelum tangkapan dibuat suspek didapati sedang menulis angka-angka di dalam satu kertas dipercayai untuk tujuan perjudian 4D haram.

“Polis turut merampas lima keping kertas yang tertulis nombor-nombor 4D, sebatang pen, kalkulator dan juga wang tunai RM118,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.