Tiga tikaman besi tumpul, Lelaki parah diserang kenalan akibat selisih faham

0

LAHAD DATU: Seorang lelaki nyaris maut akibat ditikam sebanyak tiga kali selepas wujud perselisihan faham di antara mangsa dengan seorang lelaki yang juga merupakan kenalannya dalam kejadian yang berlaku di  Jalan Teck Guan, Batu 1, di sini, malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, mangsa yang berumur 33 tahun parah akibat ditikam dengan menggunakan besi tumpul dan mengenai bahagian dada kiri depan dan belakang serta di bahagian paha kanannya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Shamsudin Mat, ketika dihubungi berkata bertindak atas maklumat suspek telah berjaya diberkas di Batu 2, Jalan Segama kira-kira jam 11.15 malam hari yang sama oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Lahad Datu yang diketuai oleh Cif Insp Ladamah Sulaiman ketika suspek cuba melarikan diri.

Suspek iaitu seorang lelaki berumur 28 tahun itu merupakan seorang pekerja jaga malam di kawasan terbabit.

Tambahnya, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham yang berlaku sehingga mencetuskan pertengkaran mulut dan disusuli pergelutan di antara suspek dan juga mangsa.

“Suspek bertindak lebih agresif lagi setelah mangsa menunjukkan isyarat ‘lucah’ terhadapnya lalu bertindak mengutip sebatang besi tumpul sepanjang kira-kira 7 inci dan menikam mangsa di bahagian dada kiri dan belakang serta paha kanan mangsa,” katanya, sambil menambah mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Daerah Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Shamsudin berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun keseksaan,” katanya.