Air bertakung bawah bangunan sekolah dicemari bakteria Leptospirosis

4

SIBU: Air yang bertakung di bawah blok bangunan sebuah sekolah rendah di sini telah dikesan dicemari bakteria Leptospirosis, yang menyebabkan penyakit kencing tikus, sekali gus menimbulkan kebimbangan di kalangan ibu bapa murid.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Zulkifli Jantan ketika dihubungi  mengesahkan air di dalam takungan terbabit telah dicemari.

Sehubungan itu katanya, sepasukan pegawai daripada Jabatan Kesihatan Bahagian telah pergi ke sekolah terbabit bagi menjalankan kerja-kerja pen-cegahan.

“Air yang bertakung di dalam kolam di bawah blok bangunan sekolah ini telah dikesan dicemari virus yang menyebabkan penyakit kencing tikus dan kakitangan kesihatan telah melakukan kerja-kerja pencegahan.

“Kami turut menasihati para murid agar menjauhi air kolam terbabit,” ujarnya ketika ditanya berhubung tindakan sepasukan pegawai kesihatan yang dilihat berada di sekolah terbabit serta mengambil contoh air dari takungan di bawah blok bangunan sekolah rendah terbabit.

Difahamkan bangunan sekolah ini yang dibina pada 1954, dibina di atas tanah paya, menyebabkan air bertakung di bahagian bawah bangunan.

Terdahulu, beberapa ibu bapa pelajar telah memaklumkan kepada pemberita berhubung kehadiran beberapa pegawai Jabatan Kesihatan di sekolah terbabit pada tengah hari kelmarin dan pagi semalam.

“Kita diberitahu air di kolam terbabit telah dicemari oleh virus yang menyebabkan penyakit kencing tikus. Oleh itu saya menasihati anak saya agar menjauhi air yang bertakung itu,” ujarnya yang enggan dikenali.

Tinjauan pemberita kira-kira jam 9.30 pagi semalam mendapati beberapa pegawai Jabatan Kesihatan Bahagian masih berada di sekolah terbabit.

Usaha mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak sekolah bagaimanapun tidak berhasil. Sesi persekolahan juga berjalan seperti biasa.

Hasil tinjauan juga mendapati air di dalam takungan terbabit mengeluarkan bau yang agak meloyakan.

Antara simptom penyakit kencing tikus ialah seseorang itu akan demam, sakit kepala dan sakit otot.