Mati ditetak atas motosikal

0

BELURAN: Seorang pekerja buruh dijumpai mati di atas motosikalnya akibat dibunuh di ladang kelapa sawit di Blok 94K Ladang Myvin 1, Telupid pada jam 4.30 petang, Selasa.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan (DSP) Sivanathan A/L Velautham berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Salleh, 46, yang telah bekerja selama 10 tahun di ladang berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, seorang pemandu traktor yang bekerja di ladang yang sama telah menjumpai mangsa dalam berlumuran darah di atas motosikal mangsa di dalam blok ladang berkenaan, katanya.

Beliau berkata pihaknya yang dimaklumkan berhubung kejadian itu bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

Pihaknya mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang tengkok dipercayai ditetak dengan benda tajam, katanya.

Sivanathan berkata mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.

Setakat ini, motif kejadian belum diketahui dan kejadian pembunuhan dipercayai dilakukan kira-kira jam 11 pagi hari yang sama, katanya.

Beliau berkata suspek setakat ini belum dikenalpasti dan pihaknya telah mengambil keterangan isteri dan rakan-rakan mangsa.

Sivanathan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu agar tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan kes berkenaan sekaligus membantu penahanan suspek pembunuhan.