Tiada cadangan pinda harga rumah kos rendah, kata Chor

0

K’jaan ambil kira kos hidup rakyat berpendapatan rendah
KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang meminda harga rumah kos rendah meskipun terdapat permintaan daripada pemaju berikutan kos pembinaan yang semakin meningkat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata,  keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kos sara hidup dan perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh rakyat yang berpendapatan RM2,500 ke bawah.

“Memandangkan tempat tinggal merupakan keperluan asas dan atas dasar mendahulukan kepentingan rakyat, kerajaan belum bercadang meminda harga rumah kos rendah agar golongan berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri,” katanya menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Chor berkata, kerajaan bagaimanapun akan melihat keperluan mengkaji semula harga rumah kos rendah sebanyak RM42,000 pada masa ini yang disifatkan tidak relevan dengan perkembangan semasa terutama dengan peningkatan harga bahan mentah.

Dalam pada itu, beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kementerian bercadang membina 38,000 unit rumah kos rendah di seluruh negara menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) termasuk di Pulau Pinang, Perlis, Sabah, Pahang dan Persekutuan Kuala Lumpur.

Chor berkata, rakyat berpendapatan di bawah RM2,500 serta penghuni setinggan yang belum mempunyai rumah sendiri perlu mendaftar menggunakan sistem pendaftaran berkomputer yang disediakan pihak berkuasa tempatan di setiap negeri untuk membolehkan kementerian mendapatkan statistik tepat.

“Kemudian barulah kita boleh ukur bilangan rumah kos rendah yang perlu dibina oleh kerajaan atau swasta di bawah arahan kerajaan negeri,” katanya.

Menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang mendakwa terdapat rumah kos rendah yang dibeli oleh warga asing, Chor berkata kes itu tidak berlaku bagi rumah yang dibangunkan kementerian tetapi tidak menolak kemungkinan ada pemilik yang menyewakan rumah mereka kepada golongan itu.

Beliau berkata, rumah-rumah yang dibangunkan kerajaan negeri tidak dipantau oleh kerajaan persekutuan. — Bernama