Semangat kerja berpasukan penting di kalangan kaunselor, kakitangan MPS

0

SIBU: Semangat kerja berpasukan penting di kalangan kaunselor dan kakitangan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dalam usaha memastikan majlis selaku pihak berkuasa tempatan dapat menyediakan perkhidmatan perbandaran yang lebih efektif dan berkesan kepada penduduk bandar Sibu.

Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King berkata, semangat kerja berpasukan mewujudkan budaya kerja yang mempunyai nilai-nilai kerjasama.

“Dalam persekitaran kerja berpasukan, masyarakat amnya akan lebih memahami dan yakin bahawa berfikir, merancang dan membuat keputusan serta tindakan adalah lebih berkesan menerusi kerjasama yang erat yang dijalinkan antara mereka dan pihak majlis,” jelasnya.

Tiong berkata demikian pada Majlis Makan Malam Kelab Sukan dan Sosial MPS sempena mesyuarat agung tahunan kelab yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Majlis makan malam itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh.

Katanya, MPS sebagai barisan hadapan kerajaan tempatan sentiasa memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk bandar Sibu.

“Penduduk setempat membayar cukai pintu kepada pihak majlis yang bertanggungjawab sebagai badan yang terlibat dalam menyediakan dan mengekalkan persekitaran bandar.

“Begitu juga, pihak majlis harus sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik kepada komuniti,” ujar Tiong yang juga Ahli Parlimen Lanang.

Tambah beliau, MPS mempunyai misi dan visi sebagai pihak berkuasa tempatan iaitu untuk menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti menerusi jalinan kerjasama masyarakat setempat dan mencapai sasaran mengekalkan persekitaran dan pembangunan perbandaran.

“MPS turut menetapkan tujuh strategi objektif iaitu untuk meningkatkan kualiti kehidupan, untuk membangunkan kesedaran sivik, untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti, untuk mengukuhkan dan meningkatkan nilai-nilai sumber, untuk meningkatkan keyakinan awam, untuk mewujudkan jalinan kerjasama dengan pemegang amanah dan untuk meningkatkan pembangunan organisasi,” jelasnya.

Tiong memberitahu, hala tuju strategi MPS bersesuaian dengan matlamat kerajaan negeri sebagai pihak berkuasa tempatan di negeri ini yang memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti.

“MPS akan terus berperanan untuk menyediakan perkhidmatan perbandaran yang menjadi tradisi tanggungjawab MPS di samping menangani cabaran dalam pembangunan komuniti seperti sosial, kebudayaan, ekonomi, belia dan pelancongan,” katanya.

Kelab Sukan dan Sosial MPS yang ditubuhkan pda tahun 1976 dan kini mempunyai seramai 523 ahli yang terdiri daripada kalangan kakitangan yang sedang berkhidmat dan bersara. Setakat ini, MPS mempunyai seramai 517 kakitangan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi MPS Daniel Ngieng Kiong Ann dan Presiden Kelab Sukan dan Sosial MPS merangkap Setiausaha MPS Hii Chang Kee.

Pada majlis yang sama, seramai 39 anak ahli Kelab Sukan dan Sosial MPS menerima insentif pendidikan atas kepujian mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam.