Site Last Updated 11:28 am, Monday

Semua pengusaha bas kini beroperasi di Terminal Bas Kuching Sentral

Posted on March 26, 2012, Monday

KUCHING: Lapan pengusaha bas yang telah berpindah ke Terminal Bas Kuching Sentral berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan dengan kadar caj 10 peratus yang berpatutan.

Susulan perpindahan tersebut melibatkan Bintang Jaya Express, Biaramas, Borneo Express, Sarawak Transport Company, Baram Express, Damri, SJS dan City Public Link ia telah mewujudkan 46 perjalanan bas sehari.

Bagaimanapun menurut pengusaha-pengusaha bas ini mereka terpaksa menghantar bas ke terminal lama di Batu 4 untuk mengambil sebahagian daripada penumpang yang masih memikirkan terminal lama masih beroperasi.

Justeru pengusaha-pengusaha bas ini berharap agar pihak berkuasa berkaitan segera menutup terminal lama bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai dan penumpang.

Menurut Chan Mou Kei dan Sazali daripada Bintang Jaya Express, kadar tambang masih sama seperti yang dikenakan pada 2010 dan ia disokong oleh Lai Sin Kiong daripada Biaramas.

Menurut mereka, laporan yang menyatakan terdapat kenaikan tambang antara 20 hingga 40 peratus adalah bertujuan mengelirukan orang ramai yang membuat perjalanan.

“Harga adalah kekal sama dan tidak berubah. Taktik mengelirukan ini sangat jahat dan jika ia betul pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) harus campur tangan.

“Kami sedar jika terdapat sebarang kenaikan atau perubahan dalam harga kami perlu mendapatkan kelulusan LPKP,” kata mereka.

Dalam pada itu menurut mereka yuran pengurusan 10 peratus adalah berpatutan atau tiada sesiapa yang akan mengambil alih pengendalian di terminal, memelihara kebersihan dan menyediakan keselamatan serta memperkenalkan sistem tiket dan kupon.

Persatuan bas telah meminta pengurusan Kuching Sentral tampil dengan penyelesaian bagi mengurangkan penjual tiket haram dan persaingan tidak sihat menerusi peperangan harga.

Berikutan itu pengurusan Kuching Sentral telah tampil dengan penyelesaian dengan menyediakan sistem tiket dan kupon.

“Ini telah dipersetujui oleh ahli-ahli dalam mesyuarat. Cara yang dikemukakan ini adalah untuk kami (pengusaha bas) menarik penumpang daripada aspek khidmat kualiti dan bukan melalui perang harga,” katanya.

Dalam pada itu, terminal baharu itu menyediakan ruang menunggu berhawa dingin, skrin berkomputer menunjukkan jadual perjalanan bas dan kaunter penjualan tiket berkomputer bagi mengelak kegiatan ulat tiket yang sebelum ini merugikan syarikat bas ekspres.

Kuching Sentral yang mempunyai 45 tempat letak bas, teksi dan van komersial (25), 400 tempat letak kereta serta tempat letak motosikal bakal menjadi penghubung bagi seluruh Sarawak, Sabah, Brunei dan Indonesia.

Terminal itu mampu menampung 12,000 penumpang selain kemudahan kondusif dan moden menitikberatkan keselesaan pengguna, kemudahan awam selain kamera litar tertutup (CCTV), surau dan mesin pengeluar wang automatik.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.

88