Taktik pengklonan kapal nelayan Thailand gagal

0

TERTUMPAS: Ismaili (kanan) bersama Aizad menunjukkan rampasan ikan yang ditangkap di perairan Sarawak tanpa kebenaran oleh kapal nelayan asing dari Thailand, semalam.

Kapal menyerupai kapal nelayan tempatan berjaya ditahan ketika ceroboh perairan negara MUARA TEBAS: Taktik pengklonan kapal nelayan Thailand yang menyerupai kapal nelayan tempatan untuk menangkap ikan di perairan negara gagal apabila sebuah kapal, seorang tekong dan enam awak-awak ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak pada 23 Mac lalu.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, tangkapan itu dilakukan berdasarkan Akta Perikanan 1985 Seksyen 15 (1)(a) kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran di mana pihaknya turut merampas dua tan ikan baja (campur).

Katanya, kesemua awak-awak termasuk tekong kapal yang berusia antara 22 hingga 44 tahun tidak mempunyai pengenalan diri yang sah yang dipercayai warganegara Thailand ditahan reman untuk membantu siasatan kes tersebut.

Beliau menjelaskan jika disabitkan kesalahan, tekong terbabit boleh didenda tidak melebih RM1 juta manakala awak-awak pula dikenakan denda maksimum RM600,000.

“Dalam Ops Permai sekitar jam 10.05 malam, kapal Maritim Cekal dianggotai 28 anggota  berjaya mengesan sebuah kapal nelayan mencurigakan sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan, 130 batu nautika dari utara Tanjung Po.

“Apabila anggota kami yang diketuai Leftenan Komander Maritim Simon Templer Lo Tusa mendekati kapal tersebut, mereka bertindak memotong pukat tunda dan cuba melarikan diri.

“Sekitar 40 minit, anggota kami berjaya menahan mereka dan mendapati kapal yang menggunakan nombor pendaftaran nelayan tempatan adalah kapal klon (palsu),” katanya pada sidang media di Jeti Pelabuhan Kompleks APMM di Muara Tebas semalam.

Hadir sama Pengarah Siasatan DM Kuching Leftenan (M) Mohd Aizad Zarimudin.

Pada masa yang sama, Ismaili mendedahkan dari Januari hingga 25 Mac, sebanyak sembilan kes telah dicatatkan membabitkan nelayan asing berlaku di negeri ini.

“Sekarang musim menangkap ikan sudah tiba, kebanyakan mereka ini (nelayan asing) aktif pada waktu malam, justeru kami mempergiatkan operasi pada sebelah malam,” katanya.

Jelasnya, setakat Januari hingga 25 Mac kutipan nilai kompaun sudah mencecah RM12,300, jumlah lelongan ikan RM5,400 dan minyak RM8,000.

“Malah, setakat ini jumlah orang asing telah ditahan adalah 109 orang warga Vietnam, 67 warga Thailand dan Indonesia 10 orang,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu pihaknya kini mengesyaki aktiviti tangkapan ikan tanpa kebenaran di perairan negara mempunyai sebuah kapal induk yang menjadi kapal logistik kepada kapal-kapal nelayan asing terbabit.

Justeru, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di perairan negara bagi memastikan aktiviti penangkapan ikan secara haram oleh nelayan asing dapat dibendung.