Pelantikan ahli lembaga pengarah baharu lonjak ekonomi, prestasi PNKL

0

LIMBANG: Pelantikan ahli lembaga pengarah baharu Persatuan Nelayan Kawasan Limbang (PNKL) Sesi 2012-2014 dijangka mampu melonjak ekonomi serta prestasi persatuan setanding dengan persatuan nelayan yang ada di negeri ini.

Pengurus Besar PNKL Stredella Romina Lynne berkata, bagi mencapai hasrat tersebut mereka perlu menjalankan tugas dan perkhidmatan seperti yang diamanahkan untuk memajukan lagi pendapatan dan keuntungan persatuan.

“Kita yakin pemilihan ahli lembaga pengarah baharu akan merealiasasikan hasrat PNKL untuk mencapai prestasi keuntungan yang berlipat ganda demi manfaat dan faedah para ahli-ahli PNKL itu sendiri,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Stredella berkata, PNKL yang ditubuhkan pada 4 April 2006 kini mempunyai seramai 296 ahli berdaftar dan jumlah itu semakin meningkat berbanding hanya sekitar 100 ahli pada awal penubuhannya.

Beliau berkata, lembaga pengarah bertanggungjawab kepada ahli-ahlinya bagi menyusun dasar, kerja  persatuan dan melaksanakannya mengikut dasar dan keputusan yang ditetapkan dalam mesyuarat agung tahunan.

“Mereka yang dilantik perlu mempunyai inisiatif tinggi khususnya mengkaji rancangan-rancangan  tahunan, perbelanjaan tahunan, mengkaji permohonan ahli dan peranan lain dalam persatuan itu.

“Apa saja keputusan yang dilakukan perlu berlandaskan peraturan yang digariskan bagi memastikan persatuan terus relevan dalam memajukan ahli-ahlinya,” katanya.

Beliau memberitahu lagi selain dasar dan kerja persatuan, beliau yakin pemilihan ahli lembaga baharu itu akan dapat memastikan kebajikan ahli-ahli nelayan terus terbela.

“Persatuan adalah platform terbaik kepada semua ahli untuk menyuarakan masalah dan mencari jalan penyelesaian serta keputusan yang memberi impak positif terhadap kebajikan mereka,” katanya.

Pemilihan ahli lembaga pengarah PNKL baharu dijalankan pada Mesyuarat Agung Tahunan PNKL ketujuh baru-baru ini untuk menerajui kepimpinan persatuan itu.

Hadir sama pada pemilihan itu ialah Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak Ahim Noh.