Pesta Lawas dijangka penuh meriah

1

Tarik 10,000 pengunjung untuk saksi pelbagai acara menarik terutama regata

LAWAS: Lebih 10,000 pengun-jung dijangka akan membanjiri bandar Lawas bagi menyaksikan pelbagai acara hebat dan menarik terutama acara regata bagi merebut mahkota kejuaraan sekali gus dinobatkan sebagai Raja Sungai pada penganjuran Pesta Lawas 2012  pada 25 hingga 27 Mei akan datang.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, acara tersebut bakal disertai beberapa pasukan handalan dari Brunei, Sabah dan Sarawak untuk berentap bagi merebut gelaran. Katanya beberapa pasukan tempatan sudah mengesahkan penyertaan termasuk juara Raja Sungai Lawas tahun lalu pasukan Saratok untuk mengekalkan gelaran juara pada Pesta Lawas kali ini.

“Selain regata, pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan lagi Pesta Lawas, antaranya perarakan kereta berhias dan tanglung, pementasan kebudayaan, pertandingan bola keranjang, sukan rakyat, pameran pembangunan dan acara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat jawatankuasa Pesta Lawas yang diadakan di sini kelmarin.

Turut sama ialah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong selaku penasihat Pesta Lawas, Pegawai Daerah Lawas merangkap Pengerusi Pesta Lawas Mohd Supaih Hamdan, Pengurus Pasukan Putera Kuala Lawas dan jemputan lain.

Awang Tengah berkata, Pesta Lawas merupakan satu lagi produk pelancongan domestik yang berjaya menarik kemasukan ramai pegunjung sekali gus memperkenalkan bandar ini kepada pihak luar.

Pada masa sama katanya, pesta ini juga menjadi indikator kepada masyarakat setempat untuk meningkatkan keupayaan diri, memperkenalkan produk, makanan dan  budaya tempatan melalui aktiviti yang bakal diadakan.

“Pada kali ini juga rakyat disajikan dengan pelbagai maklumat untuk meningkatkan serta mempersiapkan diri dengan memanfaatkan segala peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk membangunkan negeri ini secara bersama,” jelasnya.

Rakyat katanya perlu bersedia menerima pembangunan termasuk melengkapkan diri dengan kemahiran, pengetahuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang khususnya bidang perindustrian yang akan banyak disediakan oleh SCORE.

“Walaupun kita jauh di hujung negeri tetapi percayalah bahawa Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah untuk seluruh rakyat di negeri ini dan kita mahu semua rakyat bersedia untuk menerima limpahan pembangunan ini.

“Ia termasuk di Lawas sendiri mahupun di kawasan nadi SCORE di Samalaju,” tambahnya.