Kerajaan negeri galakkan penulisan biografi

0

RUJUKAN: Mawan dan Langgu (kanan) menunjukkan buku bio-grafi bertajuk ‘Seorang Pemimpin dan Pejuang’ yang dilancarkan semalam. Turut kelihatan Khairuddin (kiri). — Gambar Chimon Upon

Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan tokoh tempatan kepada negara: Mawan

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan negeri mengalukan inisiatif untuk mendokumentasikan atau penulisan biografi tokoh tempatan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, dengan membaca biografi, masyarakat akan lebih faham tentang sumbangan, pengorbanan dan cabaran dihadapi pemimpin-pemimpin di Sarawak, selain boleh dijadikan bahan rujukan umum.

“Sarawak telah melahirkan ramai pemimpin tempatan malah pada zaman Jepun, zaman Brooke dan zaman British sehingga pembentukan Malaysia, negeri ini mempunyai ramai tokoh daripada pelbagai kaum.

“Beberapa pemimpin tempatan telah mendapat tempat dalam buku sejarah di sekolah.

“Malangnya sebahagian besar daripada nama-nama mereka juga telah hilang daripada ingatan kerana sumbangan tidak ditulis atau didokumentasikan,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, ia menyebabkan perjuangan dan sumbangan mereka bukan sahaja tidak diketahui umum malah tidak dihargai.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku biografi Dato Sri Edmund Langgu Saga yang bertajuk ‘Seorang Pemimpin dan Pejuang’ di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.

Buku yang mengetengahkan Dato Sri Edmund Langgu sebagai pemimpin dan pejuang itu merupakan hasil nukilan dua pensyarah UNIMAS iaitu Timbalan Dekan Fakulti Penyelidikan dan Pascasiswazah Dr Neilson Ilan Mersat dan Dekan Fakulti Sains Sosial Profesor Dr Spencer Empading Sanggin.

Mawan berkata, pemilihan Langgu sebagai seorang tokoh tempatan amat tepat sekali kerana selain aktif dalam politik, beliau juga merupakan aktivis budaya serta mempunyai minat tinggi tentang budaya dan adat.

Katanya kesanggupan beliau (Langgu) berkongsi tentang ilmu pengetahuan tradisional membuatkan namanya begitu menyerlah khasnya di kalangan masyarakat Iban.

“Sebagai seorang pejuang politik yang veteran dan telah melalui pelbagai zaman, saya pasti tokoh ini mempunyai banyak cerita yang ingin dikongsi.

“Saya juga pasti penulis-penulis biografi ini menceritakan banyak ‘untold stories’ atau ‘unoffical anecdotes’ yang tidak diketahui umum selama ini,” tegasnya.

Sementara itu Naib Can-selor UNIMAS Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid dalam ucapannya berkata, projek penulisan biografi itu merupakan yang kedua.

Kata beliau projek pertama penulisan biografi tentang tokoh tempatan dimulakan UNIMAS pada tahun 2010 dengan tertulisnya biografi Dato Sri Tra Zehnder.

“UNIMAS memilih Dato Sri Edmund Langgu Saga sebagai salah seorang daripada tokoh tempatan yang perlu dibukukan kerana sumbangan beliau terhadap negara dan masyarakat yang menyerlah.

“Penghasilan biografi sebegini diharap dapat menambahkan khazanah pengetahuan tentang sumbangan dan tokoh-tokoh tempatan dalam pembentukan Malaysia,” ujarnya.