Cetak rompak lagu Iban ibarat ‘barah’

WAN AHMAD UZIR

SIBU: Kementerian tidak dapat bertindak jika syarikat penerbitan terus berdiam diri.

Masalah cetak rompak dalam industri muzik Iban akan terus berpanjangan dan tiada titik noktah sekiranya syarikat-syarikat penerbitan lagu enggan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pengarah KPDNKK Negeri Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, masalah terbabit terbiar tanpa tindakan kerana tiada aduan daripada pihak pengeluar lagu-lagu Iban di negeri ini.

“KPDNKK tidak boleh berbuat apa-apa kalau tiada aduan daripada mereka. Kita tidak boleh bertindak kalau tiada maklumat atau berdasarkan aduan daripada pihak terbabit.

“Walaupun dalam akhbar-akhbar tempatan di negeri ini, masalah cetak rompak dalam industri muzik Iban sering diperkatakan, namun KPDNKK tidak dapat bertindak kerana syarikat pengeluar lagu-lagu Iban hanya berdiam diri meskipun masalah terbabit ibarat barah,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gejala cetak rompak dalam industri muzik Iban yang masih tidak dapat diatasi sehingga sekarang.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Cabaran Interaktif Kelab Pengguna Sekolah (KPS) 2012 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini.

Pertandingan selama dua hari itu yang bermula sejak 29 Mac lalu adalah anjuran bersama KPDNKK dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Abdillah Adam.

Menurut Wan Ahmad lagi, KPDNKK sebelum ini bukan tidak mahu bertindak, cuma tiada maklumat mengenai dalang-dalang yang melakukan kegiatan terbabit.

“Masyarakat, peminat atau persatuan penyanyi Iban seharusnya tidak menuding jari kepada KPDNKK kerana tidak dapat menyelesaikan masalah terbabit. Isu cetak rompak ini dapat diselesaikan sekiranya semua pihak memberikan kerjasama kepada kami.

“Jangan takut atau berasa waswas jika anda tahu mengenai kegiatan terbabit. Kepada mereka yang terlibat dalam industri muzik Iban, sila tampil dan berikan maklumat-maklumat mengenai isu terbabit untuk kami tangani dan atasi supaya kita dapat menyelamatkan industri muzik Iban,” tegasnya.

Wan Ahmad berkata, beliau berasa sangat hairan kenapa syarikat-syarikat pengeluar lagu Iban tidak mahu tampil melaporkan isu-isu cetak rompak kepada KPDNKK jika masalah terbabit menghantui mereka selama ini.

“Tiada gunanya jika memperkatakan isu ini sekiranya pihak berkenaan tidak mahu tampil bekerjasama dengan kita. Berapa ramai penyanyi lagu Iban di negeri ini telah menjadi mangsa cetak rompak, namun syarikat mereka terus mendiamkan diri. Nampak pelik sangat dan ini turut menimbulkan banyak persoalan,” tambahnya.

Beliau turut menasihatkan agar mereka khususnya para penyanyi atau syarikat penerbitan lagu-lagu Iban di negeri ini memberikan kerjasama dengan KPDNKK bagi membanteras isu terbabit yang banyak menjejaskan pendapatan syarikat dan penyanyi itu sendiri.

“Sebagai seorang penyanyi atau penerbit, mereka yang berkenaan mesti tahu akan hak cipta mereka agar semua karya mereka dapat dilindungi. Adalah suatu kerugian jika orang lain mengaut keuntungan daripada hasil kerja keras anda atau titik peluh anda,” ujarnya.

Menyentuh mengenai barang-barang kawalan ketika tibanya musim perayaan, beliau menjelaskan tiada masalah yang timbul, sekali gus memberi jaminan bekalan yang mencukupi kelak.

“KPDNKK akan sentiasa memantau harga barang tidak kira pada musim perayaan atau tidak demi para pengguna. Buat setakat ini, barang-barang kawalan kita masih mencukupi dan tidak menghadapi sebarang masalah,” jelasnya.

What do you think of this story?
  • Angry (0%)
  • Sad (0%)
  • Nothing (0%)
  • Interesting (0%)
  • Great (0%)

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of