Belum ada permohonan MV Azamara keluar dari perairan Sandakan

0

SANDAKAN: Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah belum menerima apa-apa permohonan dari kapal peranginan MV Azamara Quest bagi meminta kebenaran meninggalkan perairan Sandakan.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah, Alimuddin Amirudin berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan dari pihak kapal peranginan itu untuk berlayar semula ke destinasi seterusnya.

“Setakat ini, kapal berkenaan telah keluar dari Pelabuhan Sandakan di Karamunting kira-kira jam 4.45 petang Selasa,” katanya.

Beliau menambah kapal berkenaan kini sedang berlabuh di Teluk Sandakan lebih kurang 1,000 meter dari jeti pelabuhan berkenaan.

“Kapal peranginan terbabit kini sedang dalam kerja-kerja siasatan dan membaikpulih kerosakan enjin,” katanya.

Alimuddin berkata sekiranya keputusan pihak pakar kapal berkenaan mengatakan kapal itu tidak dapat diperbaiki di sini, mereka akan meminta kebenaran untuk berlayar satu hala yang difahamkan besar kemungkinan ke negara Singapura.

“Sekiranya ini berlaku, maka pihaknya akan membuat pemeriksaan dokumen permohonan dan laporan siasatan serta enjin,“ katanya sambil menegaskan bahawa beberapa agensi kerajaan berkaitan juga turut sama-sama menjalankan pemeriksaan.

Beliau berkata ini amat penting bagi memastikan kapal itu tidak menghadapi masalah di perairan untuk sampai ke destinasi yang dituju.

“Tetapi sekiranya kapal itu dapat diperbaiki di sini, bermakna pihak kapal hanya mengemukakan permohonan yang lengkap dan mematuhi syarat bagi keluar dari perairan Sandakan,” katanya.

Menurutnya, kapal terbabit dikeluarkan dari Pelabuhan Sandakan, bagi memberi ruang kepada kapal-kapal kargo lain masuk ke pelabuhan.

Dalam laporan pada Selasa, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Azamara Club Larry Pimentel berkata kapal peranginan itu besar kemungkinan akan dipindahkan ke lokasi lain yang lengkap bagi tujuan pembaikan.

Larry berkata, pihaknya masih lagi menunggu laporan siasatan pakar-pakar yang sedang menjalankan siasatan keadaan kapal berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.