Site Last Updated 5:22 pm, Tuesday

Kemalangan di Lahad Datu, seorang lagi meninggal

by MOHD NAZIB MACPEE. Posted on April 9, 2012, Monday

LAHAD DATU: Susulan tragedi yang meragut tiga nyawa dalam kemalangan yang berlaku membabitkan sebuah kenderaan Proton Saga dengan sebuah Perodua Alza di kilometer 27, Jalan Lahad Datu-Sandakan, dekat sini, petang Sabtu, seorang lagi mangsa dilaporkan telah meninggal dunia.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Daerah Lahad Datu, dan ini merupakan mangsa keempat maut dalam dalam tragedi itu.

Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 3.15 petang Sabtu lepas, tiga mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Zulezam, 40, merupakan pemandu Proton Saga, sementara dua yang lain adalah wanita merupakan penumpang yang berada pada kenderaan Alza dan dikenali sebagai Hamsiah Hassan, 47, bersama anak perempuannya bernama Hashimahshairah Saleman, 14.

Mangsa keempat, seorang wanita yang merupakan isteri kepada Zulezam iaitu Roslina Ramle, 28, dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Daerah Lahad Datu selepas mendapat kecederaan parah dalam kemalangan terbabit.

Bagaimanapun, enam daripada 10 mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu yang merupakan pemandu kenderaan Alza berumur 43 tahun bersama empat orang anak perempuannya dan seorang anak saudaranya hanya mengalami cedera ringan termasuk seorang bayi lelaki yang berusia 3 bulan yang berada di dalam kenderaan Proton Saga dan kini dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Shamsudin Mat, berkata siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berpunca semasa pemandu kereta Proton Saga bersama isteri dan anak lelakinya yang dalam perjalanan daripada arah Lahad Datu menuju ke Jalan Sandakan.

Apabila sampai di tempat kejadian, pemandi Proton Saga cuba memotong sebuah kenderaan yang berada di hadapannya lalu hilang kawalan dan melintang di tengah jalan sebelum dirempuh oleh sebuah kenderaan Alza yang datang dari arah bertentangan mengakibatkan kenderaan Proton Saga terbabit terputus dua.

“Impak daripada pelanggaran itu juga mengakibatkan kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan Proton Saga dikatakan telah tercampak keluar dan pemandunya dilaporkan meninggal dunia di tempat kajadian,” katanya sambil menambah turut meninggal di tempat kejadian, dua penumpang di dalam kenderaan Alza selepas mendapat kecederaan parah di bahagian kepala akibat terhumban ke bahagian hadapan bonet kenderaan.

Shamsudin berkata, kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyan 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.

Sehubungan itu, Shamsudin turut menasihatkan orang ramai yang ingin mengadakan perjalanan jauh supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi had laju yang telah ditetapkan termasuk sentiasa menggunakan tali pinggang keselamatan terutamanya kepada penumpang yang duduk di bahagian belakang bagi mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.