Kompleks Pelancongan Sarawak dicantikkan

0

Ia akan dicantikkan sejurus selepas Merdeka Plaza siap dibina kelak, kata Abang Johari

KUCHING: Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, Kompleks Pelancongan Sarawak (KPS) akan dicantikkan sejurus selepas Merdeka Plaza siap dibina.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran acara kebudayaan terbaru iaitu Persembahan Malam Sabtu di kompleks itu malam Sabtu lepas.

“Selepas Merdeka Plaza siap dibina, kami akan menaik taraf dan mencantikkan Kompleks Pelancongan Sarawak untuk dipadankan dengan kompleks beli-belah yang baharu itu.

“Selain Merdeka Plaza, satu lagi kompleks akan dibina, sebelum ini dikenali Kuching Plaza.

“Kami sedang mempertimbang untuk membina laluan pejalan kaki yang lebih luas di kawasan ini untuk pelancong berjalan kaki,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata kerja-kerja membaik pulih kompleks itu sebelum ini bernilai RM22 juta .

“Sebelum ini kami telah membelanjakan RM22 juta untuk kerja-kerja pemulihan.

“Kami sedia maklum struktur ini adalah tapak warisan, jadi apa yang perlu kami lakukan ialah memberi ‘sentuhan komestik’ sahaja,” jelasnya.

Beliau percaya kawasan itu mempunyai potensi menarik lebih ramai pelancong sebaik kompleks-kompleks beli-belah berhampiran dengannya siap nanti.

Pelancong katanya tidak hanya mengunjungi KPS tetapi akan mengunjungi Lebuh India dan Lebuh Carpenter.

“Sudah tentu apabila laluan pejalan kaki siap, kita akan meminta lebih ramai anggota polis ditempatkan di kawasan itu untuk keselamatan semua pihak,” katanya.

KPS dibina pada 1871, sebelum ini merupakan Kompleks Mahkamah Negeri dan kini dijadikan pusat untuk Majlis Kraf Sarawak.