Kuching dapat manfaat daripada Edinburgh Festival Fringe

0

HANYA DI KUCHING: Para artis menghiburkan tetamu dan pelancong pada Persembahan Malam Sabtu di Kompleks Pelancongan Sarawak.

KUCHING: Bandar raya Kuching diyakini mendapat manfaat daripada pelancaran festival kesenian terbesar dunia, Edinburgh Festival Fringe, pada malam Sabtu lepas di Kompleks Pelancongan Sarawak (KPS) di sini.

Persembahan mingguan yang berlangsung selama sejam itu dan julung kalinya diadakan di kompleks berkenaan mampu mengubah bandar raya Kuching menjadi bandar raya kebudayaan.

Tujuan utamanya ialah menarik seramai mungkin pelancong khususnya dari Singapura mengunjungi negeri ini.

Selain daripada aspek pelancongan, pameran kebudayaan ini akan berperanan mengasah bakat-bakat tempatan dan pada masa sama menawarkan tempat kepada pelajar dan individu berbakat mempamerkan kebolehan masing-masing.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, yang menyempurnakan majlis pelancaran festival kebudayaan itu berkata persembahan itu akan menghidup serta menceriakan lagi bandar raya Kuching.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah menterjemah semangat Kuching kepada persekitaran bersih, mesra dan bandar yang mantap kebudayaannya.

“Kita pernah mengunjungi ‘The Fringe Festival’ di bandar raya Edinburgh Scotland.

“Kita melihat ia sebagai model dan selepas itu kita mengubah budaya kita,” katanya kepada pemberita.

Edinburgh Festival Fringe 2011, berlangsung selama 25 hari dengan lebih 2,500 pameran antarabangsa daripada 60 negara di 258 lokasi. Setiap tahun festival kebudayaan ini diadakan di ibu kota Scotland, Edinburgh pada Ogos.

Abang Johari berkata artis tempatan akan berinteriaksi dengan tetamu yang juga boleh melawat pameran yang diadakan sempena Pameran Malam Sabtu.

Pameran itu mempamerkan hasil kraf tangan tempatan termasuk tekstil dan produk penduduk asal.

Sehubungan itu beliau yakin pameran akan menghibur pelancong dan  rakyat Singapura khasnya dengan perkhidmatan penerbangan disediakan oleh Tiger Airways.

Abang Johari menambah, kementeriannya mendapat maklum balas daripada pemain-pemain industri pelancongan bahawa program-program pelancongan perlu dikekalkan atau meningkatkan asas pelancong.

“Kita sebenarnya mendapat maklum balas daripada ejen-ejen pelancongan dan hotel mengatakan tetamu mereka mahu menyaksikan persembahan kebudayaan kerana tiada aktiviti lain boleh disetai selepas makan malam.

“Jadi kita berharap persembahan ini dapat menarik orang ramai dan menjadikan bandar raya Kuching bandar yang ceria serta penuh kebudayaan,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengakui kementeriannya mahu mengetahui maklum balas orang ramai terhadap pameran kebudayaan ini bagi membolehkannya dijenamakan dengan nama khas untuk acara kebudayaan itu.

Buat sementara waktu katanya, artis tempatan dijemput membuat persembahan pentas dan percaya lebih ramai bakat muda akan tampil pada masa akan datang.

“Pada Mei, kita akan menyaksikan persembahan dari Sekolah Seni.

“Pelajarnya akan menunjukkan bakat-bakat mereka yang sebelum ini tidak tahu di mana hendak membuat persembahan.

“Sekarang mereka boleh beraksi di depan orang ramai dan pelancong iaitu di Kompleks Pelancongan Sarawak dan pada masa sama kita dapat mengasah lebih ramai bakat baharu,” ujarnya.

Persembahan Malam Sabtu berlangsung di KPS bermula dari jam 7.30 malam.

Mereka yang berminat melihat persembahan kebudayaan ini boleh melayari laman web Kementerian Pelancongan dan laman sosial Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini.