Pekerja LKTNS cedera dipukul enam lelaki

0

KENINGAU: Polis menangkap tiga lelaki yang disyaki melakukan rompakan secara berkumpulan dan mendatangkan kecederaan kepada seorang pekerja di ladang dawit Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) di Sook pada 30 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, pada kejadian jam 3 petang di Jalan Perumahan Bersatu Keningau, mangsa telah dipukul oleh enam orang lelaki di mana tiga daripada suspek dikenali sementara tiga yang lain tidak diketahui nama tetapi boleh dicam oleh mangsa.

Katanya, mangsa (pengadu) telah membuat laporan polis pada 5 April jam 4.58 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

“Mangsa yang berumur 36 tahun dipukul di bahagian belakang tubuhnya menggunakan kayu, tangan, kepala dan kaki dipijak-pijak. Kedua-dua tangan diikat dan mangsa juga dicekik oleh suspek,” katanya.

Zahari berkata, mangsa juga mengatakan resit pembelian getah berjumlah RM2,600, wang tunai RM2,100, jam tangan dan satu cincin emas telah dirampas oleh suspek. Mangsa juga dipaksa menandatangani surat akuan hutang.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa dengan suspek merupakan rakan perniagaan dan telah berlaku selisih faham kerana salah seorang suspek telah memberi wang RM16,000 kepada mansga untuk membeli getah dan telah menggunakan wang sepenuhnya untuk membeli getah,” katanya.

Katanya, wang tunai RM2,100 juga adalah kepunyaan seorang suspek untuk membeli getah tetapi mangsa tidak membeli getah.

Beliau berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan, bengkak di bahagian kaki, luka di tangan dan sakit di bahagian kiri badan.

“Mangsa lewat membuat laporan polis kerana demam dan hanya pergi ke hospital Keningau pada 6 April untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Zahari berkata, ketiga-tiga suspek yang ditangkap ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana rompak berkumpulan dan mendatangkan kecederaan.