Perlu tingkat kemudahan OKU

0

Prof Datuk Ar Dr Asiah Abdul Rahim

KOTA KINABALU: Kemudahan untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) di bandaraya ini masih tidak memuaskan dan perlu diperbaiki.

Pengarah KAED Universal Design Unit (KUDU) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Ar Dr Asiah Abdul Rahim berkata ketika ini hanya beberapa bangunan dan kawasan baharu di bandaraya ini mesra OKU.

Justeru, katanya, banyak usaha perlu dilaksanakan untuk menjadikan bandaraya ini sesuai untuk OKU.

“Ada hotel yang mengambilkira keadaan OKU tetapi tidak menyeluruh. Ketika ini, tiada laluan mesra OKU dari bangunan ke bangunan.

“Struktur bangunan juga ada yang tidak mesra OKU selain masalah komunikasi apabila berurusan di kaunter kerana tiada pegawai yang tahu menggunakan bahasa isyarat,” katanya.

Jelasnya, banyak pejabat kerajaan yang menggunakan pintu kayu atau menggunakan sistem pengesan pelanggan menggunakan bunyi loceng yang menyukarkan golongan OKU pendengaran.

“Kerana itu, kita mencadangkan agar pegawai kaunter dan penyambut tetamu mempunyai kemahiran berbahasa isyarat untuk memudahkan golongan OKU pendengaran untuk berurusan di kaunter,” katanya.

Asiah juga berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memberi penekanan kepada aspek kemudahan OKU dalam setiap pelan baharu.

Katanya, PBT boleh menggunakan dokumen Standard Malaysia sebagai bahan rujukan.

“Misalnya MS 1184:2002 dan MS 1331:2003 serta MS 2015: 2006 untuk tandas awam juga sudah ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bengkel Audit Akses Dalam Persekitaran Alam Binan Kota Kinabalu di Pusat Pembelajaran Kingfisher, di sini, kelmarin.

Bengkel terbabit anjuran bersama Jabatan Standard Malaysia (Standard Malaysia), KUDU dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata hanya 25 peratus daripada 16 kajian kes bagi Audit Akses Kemudahan berada dalam keadaan baik, manakala selebihnya kurang baik dan tidak baik.

“Dapatan ini menunjukkan bahawa bangunan yang ada di Malaysia ketika ini tidak memuaskan untuk golongan OKU,” katanya.

Kajian itu, katanya, melibatkan muzium, kawasan riadah, bangunan komersil, kawasan pejalan kaki, terminal pengangkutan awam dan stesen keretapi serta kawasan perumahan.

Katanya, keperluan menyediakan kemudahan OKU ini juga telah disebut dalam Akta Orang Kurang Upaya.

Justeru, beliau meminta pihak yang terlibat dalam industri pembinaan diberi pendedahan dan latihan sewajarnya agar kemudahan OKU dapat diaplikasikan dalam semua projek pembangunan.

Sementara itu, Asiah berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merupakan PBT paling aktif kerana telah menubuhkan Unit Inovasi dan Piawaian khusus untuk mengendalikan hal berkairtan pengurusan kemudahan OKU.

KUDU, jelas beliau, telah empat kali bekerjasama dengan DBKL bagi audit akses dengan lima hingga tujuh bangunan untuk setiap audit akses.

“Jadi kami bersyukur DBKK cuba buat tujuh kes tetapi ini memerlukan pengkalan data diperbaiki untuk mengenalpasti masalah sedia ada dan perbaiki apa yang perlu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah UIAM merupakan universiti pertama memiliki silibus berkaitan kemudahan OKU yang mengandungi aspek kejuruteraan dan binaan bangunan.

Katanya, silibus itu juga telah dikongsi bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Perkembangan penggunaan silibus ini menunjukkan kita bukan sahaja mahu melatih golongan profesional untuk mempromosikan suasana mesra OKU, malah memulakan usaha itu dari peringkat universiti lagi,” katanya.