Perdana Menteri Britain diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana

0

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Britain David Cameron diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini semalam, sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia.

Ketibaan Cameron disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri kabinet.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Perdana Menteri Britain itu kemudian diperkenalkan kepada anggota kabinet, duta asing dan para pegawai kanan kerajaan.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak mengambil alih jawatan perdana menteri pada Mei 2010.

Cameron dijadual berucap pada Forum Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-Britain, mengadakan mesyuarat dua hala dengan Najib, dan menghadiri program Pergerakan Kesederhanaan Global di University of Nottingham, Kampus Malaysia di Semenyih.

Britain adalah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU), dengan dagangan berjumlah RM13.03 bilion, manakala Malaysia pula merupakan rakan dagangan kedua terbesar Britain dalam kalangan negara anggota ASEAN. — Bernama