Ramai pekerja mahir diperlukan, kata Len Talif

0

PENYUMBANG BIDANG TEKNIKAL DAN VOKASIONAL: Len melawat gerai-gerai IPTA dan IPTS yang dibuka pada Karnival Pendidikan MARA 2012 di Kuching. — gambar Chimon Upon

Peningkatan 20 peratus enrolmen pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional tidak memadai

KUCHING: Langkah kerajaan Malaysia meningkatkan kadar purata enrolmen pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional sebanyak 20 peratus atau 86,000 pelajar pada 2015 masih dianggap belum memadai bagi Sarawak untuk memacu 10 industri teras di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, ini kerana keperluan tenaga kerja mahir di Sarawak pada 2015 telah dianggarkan dalam satu kajian tenaga kerja sebanyak 226, 493 orang.

Menurut beliau, jumlah tenaga kerja tersebut merangkumi empat kategori iaitu kategori profesional, semi profesional, staf sokongan dan pekerja am di bawah industri seperti pelancongan, tenaga, pembalakan dan perladangan serta akuakultur.

“Jadi, pada 2015 sahaja banyak kerja teknikal akan wujud disebabkan oleh pelaburan dalam industri-industri ini.

“Persoalannya, bagaimanakah kita menyediakan tenaga kerja mahir yang diperlukan pada 2015 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan MARA 2012 di sini, semalam.

Hadir sama ialah Pengarah MARA Sarawak Shazali Salleh dan Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Penganjuran Pelajar MARA Rohayah Mohd Zain.

Sehubungan itu, Len yang juga Menteri Muda Alam Sekitar berkata untuk membantu menyediakan bekalan pekerja mahir yang diperlukan, kerajaan negeri telah mewujudkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) yang dilancarkan pada Februari lalu.

“Matlamat TEGAS ialah untuk mempromosikan pendidikan teknikal di kalangan anak-anak Bumiputera supaya menjadikan pendidikan teknikal sebagai pilihan utama,” katanya.

Menurut Len, daripada jumlah lepasan SPM iaitu seramai 35,000 orang setiap tahun, hanya kira-kira 6,000 orang yang dapat memasuki Tingkatan Enam, 9,000 orang yang belajar semula di IPTA atau IPTS dan selebihnya sama ada menjadi tenaga kerja tidak mahir atau tinggal di kampung halaman.

Sementara, Len berkata kadar purata enrolmen pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus atau 43,000 di Malaysia.

Katanya, di negara seperti Australia, Finland, Jerman dan Austria malah Korea Selatan, Indonesia, Thailand, China dan Singapura, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu daripada kekuatan utama dalam sistem pendidikan mereka.

“Hampir 60 peratus daripada pelajar sekolah di Jerman memasuki sekolah vokasional setiap tahun, Finland 43 peratus dan di Austria sebanyak 80 peratus yang mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah berbanding di negara kita 80 peratus daripada jumlah tenaga kerja hanya memiliki SPM.

“Di Indonesia dan Thailand, enrolmen pelajar di peringkat menengah menjangkau 40 hingga 60 peratus,” kata Len.