Home - Utusan Borneo - Sukan - Kontinjen olahraga Betong sasar 10 pingat emas di Sibu
Kontinjen olahraga Betong sasar 10 pingat emas di Sibu
by Saleman Senin. Posted on April 14, 2012, Saturday
BETONG: Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Betong kini sedang giat mempersiapkan kontinjen mereka bagi menghadapi Kejohanan Balapan dan Padang MSS Sarawak yang bakal berlangsung dari 17 hingga 20 April ini di Sibu.
Penolong ketua jurulatih, Fadreen Jingan berkata seramai 61 atlet bakal menggalas cabaran bahagian ini ke kejohanan olahraga peringkat negeri itu kali ini.
Dengan mensasarkan 10 emas, 8 perak dan 10 gangsa, Betong yang begitu menyerlah dalam acara jalan kaki dan jarak jauh akan berusaha untuk mengekalkan pencapaian terbaiknya pada temasya itu nanti.
“Sasaran kita sekurang-kurangnya mengatasi jumlah pingat yang disasarkan. Justeru untuk mendapat kedududkan yang baik dalam kejohanan seumpama itu, kita perlu berkorban masa untuk mempersiapkan diri dengan latihan yang secukupnya,” jelas Fadreen ketika ditemui pemberita ketika sesi latihan pasukan di sini semalam.
“Latihan pusat selama seminggu sekurang-kurangnya dapat memberi kesan dan pencapaian terbaik atlet kita dalam menghadapi kejohanan yang lebih tinggi selepas ini,” tambah beliau.
“Kita juga akan mengenal pasti atlet yang mampu untuk diketengahkan bagi menggalas cabaran seterusnya pada masa-masa akan datang dengan menyerap masuk atlet muda yang berkebolehan.”
<< Previous Entry - Next Entry >>




