Aibot X6 dipamer kali pertama di DSA 2012

0

KUALA LUMPUR: Robot pemantauan penerbangan tanpa pemandu yang mendapat suntikan kejuruteraan Malaysia, Aibot X6, dipamerkan buat pertama kalinya pada persidangan dan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2012(DSA 2012), yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga Khamis ini.

Aibotix (M) Sdn Bhd, yang diberikan hak sebagai pengedar tunggal, oleh Aibotix Germany untuk memasarkan robot pemantau berasaskan teknologi Jerman itu ke seluruh Asia mahu menggunakan DSA sebagai platform memperkenalkan Aibot X6 kepada organisasi pertahanan khususnya di Malaysia mengenai keberkesanannya.

Jurucakap Aibotix (M) Sdn Bhd berkata, robot pemantau itu sesuai digunakan pasukan keselamatan negara seperti polis, tentera dan pertahanan awam untuk membuat pemantauan keselamatan.

Seunit Aibot berkemampuan menampung berat sekurang-kurangnya dua kilogram  kamera dan terbang dalam radius dua kilometer dan setinggi dua kilometer bagi aktiviti pemantauan dengan senyap, katanya kepada Bernama.

Menurut jurucakap itu, Itali, Jerman dan Denmark adalah antara negara yang telah menggunakan khidmat robot pemantau itu.

“Di negara lain, kebiasannya robot ini digunakan untuk pemantauan sempadan, kawalan keselamatan udara, operasi menyelamat dan sebagainya terutamanya bagi kawasan yang memerlukan kaedah pengintipan seperti di sempadan negara masing-masing,” kata beliau.

Menurut jurucakap itu, Aibot X6, yang enam kipas kecilnya dikawal melalui alat kawalan jauh seperti tablet PC, adalah robot yang mempunyai tahap kepintaran tiruan yang tinggi dan dibina dengan kecanggihan teknologi ‘multi-rotor’ terkini.

“Pengendali Aibot X6 tidak perlu mempunyai pengalaman ataupun pengetahuan sebelum mengendali robot tersebut kerana kepintaran tiruan dan perisian pemprosesan imej sudah mampu memudahkan pengendalinya dalam membantu mengawal robot pemantauan tersebut malah ia dijamin selamat daripada pelanggaran atau terhempas,” katanya.

Menurut jurucakap itu, ‘housing’ yang melindungi enam kipas itu dibuat khas dengan bahan yang sangat ringan bagi memberikan impak penerbangan terbaik dan stabil serta mengurangkan risiko pelanggaran yang boleh merosakkan motor dan kipas.

Beliau berkata, Aibot X6 boleh digunakan dalam pelbagai jenis situasi kerana ia mampu mendarat dalam pelbagai kawasan pendaratan.

Beliau berkata, Aibot X6 menjana kuasa penerbangannya dengan menggunakan sejenis bateri yang direka khas malah sekiranya robot tersebut kekurangan bateri semasa sesi pemantauan, ia akan secara automatik pulang ke pangkalan untuk dicas semula.

Bagi tujuan pertahanan, katanya Aibot X6 boleh diubah suai mengikut keperluan pertahanan dan ia dijual pada harga dianggarkan antara RM250,000 hingga RM300,000 seunit. — Bernama