25 sekolah rendah terima manfaat daripada perpustakaan bergerak

0

SIBU: Sebanyak 25 sekolah rendah di bahagian ini telah menerima manfaat daripada perkhidmatan perpustakaan bergerak yang dikelolakan oleh Perpustakaan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

Kebanyakan sekolah ini terletak di kawasan yang tidak mempunyai atau jauh dari perpustakaan awam selain daripada perpustakaan sekolah yang kekurangan sumber bahan bacaan.

Perpustakaan bergerak yang mempunyai lebih kurang 1,000 naskhah buku pelbagai genre itu bergerak seawal jam 8.30 pagi dan berhenti di sekolah terpilih dua minggu sekali kecuali pada cuti sekolah dan cuti umum.

Menurut Ketua Unit Perpustakaan Awam MPS Habsah Johor, perkhidmatan tersebut diwujudkan bagi menanam sikap suka membaca di kalangan orang ramai terutama murid-murid sekolah.

Sejak diwujudkan pada 1995, perkhidmatan ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak sekolah.

“Perkhidmatan pinjaman buku kami beri secara percuma kepada murid Tahun 4,5 dan 6 dan guru-guru tetapi sekiranya sekolah tertentu kekurangan murid, murid Tahun 1 hingga 3 boleh turut serta,” ujar Habsah.

Habsah berkata, sekolah yang mendapat perkhidmatan perpustakaan bergerak perlu memenuhi kriteria tertentu sebelum pihaknya membekalkan perkhidmatan tersebut.

Antara kriteria-kriterianya adalah lokasi sekolah, mempunyai ruang luas bagi membolehkan perpustakaan bergerak diletakkan dan kawasan yang selamat.

“Sekolah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan perpustakaan bergerak boleh memohon dengan menulis surat kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat,” katanya.

Selain daripada memberi perkhidmatan di sekolah-sekolah, perpustakaan bergerak ini juga melakukan aktiviti lain seperti pameran dalam program-program tertentu sekiranya ada permintaan.

“Pihak kami mengalu-alukan dan sedia membekalkan perkhidmatan ini kepada mana-mana sekolah mahupun organisasi yang berminat,” kata Habsah.

Habsah menambah, pihaknya telah memohon perpustakaan bergerak baharu untuk menggantikan yang lama bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dan selesa kepada penggunanya.