Skuad Piala Presiden dirombak berdepan Terengganu

0

KUCHING: Skuad Piala Presiden Sarawak akan menjalani ‘post mortem’ sebelum bertandang ke Terengganu pada 26 April nanti.

Jurulatih pasukan, Makri Lonchen berkata beliau akan melakukan rombakan secara menyeluruh, dari pertahanan hinggalah kepada jentera serangan, selepas kesebelasan utama yang diturunkan masih belum menunjukkan keserasian yang diharapkan.

Beliau berkata rombakan tersebut adalah perlu demi memantapkan skuad muda Ngap Sayot yang mencatat kekalahan ke-14 kelmarin.

Menyentuh tentang perlawanan menentang Perlis, Makri berkata anak-anak buahnya menunjukkan komitmen dan semangat juang yang tinggi untuk mengutip tiga mata berharga.

“Kita boleh menang tapi tidak bernasib baik. Banyak peluang kita sia-siakan dan jentera serangan juga agak tumpul dan tidak berkesan.

“Tetapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan skuad muda kita. Kita mengawal permainan dan melakukan banyak ‘counter attack’ untuk mengucar-ngacirkan pihak lawan,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Berkenaan pertemuan dengan Terengganu, Makri berkata beliau akan menurunkan kesebelasan utama yang terbaik dalam misi mencari semula rentak kemenangan.

“Saya menggesa agar para pemain lebih berhati-hati dan tidak mensia-siakan segala peluang yang ada. Paling penting, jangan ulangi kesilapan.

“Terengganu merupakan sebuah pasukan yang kuat dan kita tewas pada pertemuan pusingan pertama di sini,” tambahnya lagi.

“Namun, saya optimis penyerang-penyerang muda Ngap Sayot tidak akan membiarkan penjaga gol skuad Sang Penyu duduk diam.”

Skuad Piala Presiden akan turun tanpa kelibat Deckon yang mengalami kecederaan akibat pertembungan dengan pemain Perlis dan tempatnya dijangka akan digantikan oleh Muhd Suhaidi.