Warga asing dicekup potong kabel elektrik

0

KOTA KINABALU: Seorang warga asing dicekup polis dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) ketika sedang leka memotong saki-baki kabel elektrik, di sini kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Kejadian curi terbabit merupakan kes terbaru selang 10 sehari selepas seorang suspek ditangkap di lokasi sama, iaitu berhampiran pencawang elektrik  milik SESB di Telipok, dekat sini. Lelaki yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Pengarah Urusan SESB, Ir. Hj Abd Razak Sallim, berkata perbuatan mencuri kabel elektrik itu menyebabkan impak negatif kepada penggunaan eletrik di kawasan Telipok.

Katanya, lampu jalan sepanjang Jalan Telipok juga tidak dapat beroperasi sepenuhnya selepas kabel bawah tanah yang membekalkan elektrik ke panel lampu jalan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dipotong dan dicuri.

“Dalam insiden itu, kita berjaya merampas beberapa perkakasan yang dipercayai digunakan lelaki berkenaan,” katanya, sambil menjelaskan bahawa pada bulan ini saja, lima suspek berjaya ditangkap oleh SESB sebelum diserahkan kepada polis.

Abd Razak berkata sejak bulan September 2009, SESB menerima 46 kes kecurian aset (termasuk kes terbaru) dan berjaya menangkap 38 individu.

“Rondaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi sasaran pencuri kabel ini juga dipergiat bagi memastikan pencawang ini tidak terus menjadi mangsa perbuatan tidak bertimbang rasa ini, ” katanya.

Beliau percaya menerusi kerjasama dengan pihak polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) akan dapat membantu SESB menangani masalah berkenaan.