Misi kemanusiaan Armada Pemuda PBB Negeri jelajah seluruh negeri

0

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengadakan program Armada Pemuda PBB Misi Kemanusiaan yang bermula dari Kuching hingga ke Lawas.

Program selama enam hari itu akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Tebingan Kuching pada Selasa ini (1 Mei).

Pengerusi pelancaran program itu, Wan Hamzah Wan Paie berkata dijangkakan seramai 1,000 ahli Pemuda PBB Zon Kuching akan membanjiri Tebingan Kuching bagi memeriahkan majlis pelancaran program yang julung kalinya itu.

“Program itu akan menjadi wadah buat Pemuda PBB mendegar amanat Ketua Menteri selaku presiden parti,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung Pemuda PBB Negeri Gerald Rentap Jabu dan ketua-ketua Pemuda ranting Zon Kuching.

Menurut Wan Hamzah, misi kemanusiaan dalam program itu adalah melibatkan aktiviti kemasyarakatan peringkat akar umbi yang menyaksikan barisan Pemuda PBB turun padang.

Beliau berkata sepanjang program itu, pelbagai aktiviti diadakan di setiap pangkalan (perhentian) konvoi terbabit.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong, derma darah, sumbangan kebajikan kepada masyarakat yang memerlukan serta riadah dan sukan,” katanya.

Wan Hamzah menarik perhatian program itu juga diselitkan dengan pemeriksaan kesihatan, pendaftaran pengundi dan maklumat kaunter (Pejabat Daerah, LHDN, Jabatan Kebajikan dan sebagainya).

Katanya, selain misi kemanusiaan, Pemuda PBB juga akan mempelbagaikan misi lain seperti misi ilmu, belia, kerjaya, usahawan dan sebagainya.

“Sesungguhnya, amanat Ketua Menteri kepada Pemuda PBB Negeri akan menjadi sumber inspirasi kewujudan program Armada ini dan diharapkan misi kami dapat dicapai,” katanya.