Jangan benarkan PTI menetap di kampung

1

SEPANGGAR: Pembantu Menteri Pembangunan Sumber Kemajuan dan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Jainab Hj Ahmad Ayid menyeru agar masyarakat tidak membenarkan pendatang tanpa Izin (PTI) tinggal menetap di kawasan kampung.

Katanya masyarakat perlu menyelidik terlebih dahulu sebelum menjual lot tanah kepada pihak-pihak tertentu.

“Bagaimanapun tanah kerajaan tidak boleh dijual dan diharap masyarakat memberi kerjasama kepada kerajaan untuk mengelakkan permasalahan berlaku akibat penjualan tanah kepada pihak tertentu.

“Saya merayu kepada masyarakat kampung supaya menyelidik dahulu sebelum membuat keputusan… ini juga memudahkan usaha kerajaan berjalan dengan lancar dalam membantu rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian program Juara Rakyat ‘Wanita dan Keluarga’ di Kampung Kuala Menggatal, kelmarin.

Jelasnya, rakyat seharusnya mengetahui peraturan yang telah ditetapkan dan bekerjasama dengan pihak kerajaan.

Beliau turut menegaskan agar wakil pemimpin rakyat daripada kampung supaya tidak menyalahgunakan kuasa mereka.

“Kita sepatutnya ikhlas membantu rakyat…jangan biarkan tingkah laku yang mengguris hati rakyat sehingga merosakkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kita susah untuk membantu mereka,” katanya.

Mengenai status Kampung Kuala Menggatal katanya, pihaknya telah berbincang dengan pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah dan masih dalam proses permohonan untuk memberi tanah kepada penduduk kampung terbabit.

“Saya yakin UiTM merupakan syarikat yang bertanggungjawab kerana baru-baru ini mereka telah memberikan 80 ekar kepada penduduk Kampung Lokub.

“Untuk kampung ini juga kita akan peruntukkan sebanyak RM80,000 untuk meluaskan jalan, dan membina dewan serbaguna futsal,” katanya.

Sementara itu mengenai pembinaan jalan Kampung Kabagu hingga Lumbak katanya, kerajaan menaiktaraf jalan raya di kawasan itu agar memudahkan orang kampung ke bandar, sekolah dan juga universiti.

Tambahnya, Kampung Ratau juga berpotensi menjadi pusat pelancongan yang mampu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk setempat.